Saman fitnah: Lokman setuju mohon maaf, bayar pampasan kepada KJ

Saman fitnah: Lokman setuju mohon maaf, bayar pampasan kepada KJ

Khairy Jamaluddin memfailkan saman pada Feb 2022 mendakwa difitnah oleh Lokman Noor Adam menerusi siaran media sosial berhubung program vaksin Covid-19.

Lokman Noor Adam perlu mengemukakan permohonan maaf kepada Khairy Jamaluddin dalam tempoh 30 hari.
KUALA LUMPUR:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Noor Adam bersetuju memohon maaf secara terbuka sebagai penyelesaian kes fitnah difailkan terhadapnya oleh bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung program vaksin Covid-19.

Menerusi penyelesaian direkodkan di hadapan Hakim John Lee Kien How @ Mohd Johan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Lokman juga bersetuju membayar sejumlah pampasan yang tidak didedahkan kepada Khairy.

Johan juga berterima kasih kepada semua pihak kerana bersetuju menyelesaikan saman terbabit di luar mahkamah tanpa perlu melalui perbicaraan yang ditetapkan selama tiga hari.

Abdul Rashid Ismail yang mewakili Khairy berkata Lokman juga bersetuju mengeluarkan tujuh hantaran video, keterangan dan gambar di Facebook dan akaun YouTubenya.

“Defenden akan mengemukakan permohonan maaf dalam bahasa Inggeris dan Melayu di Facebook dalam tempoh 30 hari,” katanya.

Khairy hadir pada prosiding itu namun Lokman yang diwakili Logen Eskandar Abdullah tidak datang.

Khairy, bekas ketua pemuda Umno, ketika memfailkan saman pada Feb 2022 mendakwa difitnah oleh Lokman menerusi siaran media sosial, termasuk dakwaan bahawa plaintif dikatakan bertindak melulu dan/atau tidak bertanggungjawab dalam perolehan vaksin Covid-19 untuk program vaksinasi di Malaysia.

Dalam kenyataan tuntutan, beliau memfailkan saman berkenaan atas kapasiti peribadi terhadap Lokman kerana memfitnahnya menerusi dua video, memuat naik gambar dalam akaun Facebooknya pada 6 Jan dan membuat kenyataan “langsung” menerusi aplikasi itu dan YouTube pada 10 Jan.

Khairy, yang ketika itu pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 berkata, defendan melakukan fitnah melalui hantaran atas talian yang mengandungi beberapa dakwaan berhubung usaha vaksinasi Covid-19 yang dilakukan kerajaan.

Antaranya, menuduhnya beliau bertindak melulu dan tidak bertanggungjawab dalam membuat perolehan vaksin Covid-19 bagi program vaksinasi, selain dakwaan yang dikaitkan dengan status vaksinasi Covid-19 dirinya.

Katanya, hantaran atas talian yang dibuat oleh kedua-dua defendan adalah bertentangan dengan kepentingan awam kerana merendahkan usaha Putrajaya melawan pandemik Covid-19.

Khairy menegaskan bahawa beliau “bertindak dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia berhubung pelaksanaan program vaksinasi Covid-19″.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.