Polis rancang guna skuter elektrik di KLIA

Polis rancang guna skuter elektrik di KLIA

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan skuter itu dapat membantu polis respon dengan lebih pantas dan membuat rondaan dengan lebih meluas.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata ini adalah kali pertama pasukan polis dibekalkan dengan peralatan seperti itu. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Polis merancang menggunakan skuter elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk rondaan dan respon yang lebih meluas di lapangan terbang susulan insiden tembakan yang berlaku semalam.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata kerajaan negeri bersetuju membeli skuter berkenaan dan ini adalah kali pertama pasukan polis dibekalkan dengan peralatan itu di Malaysia.

“Kita akan menerima skuter ini tidak lama lagi,” katanya kepada wartawan selepas majlis serah terima tugas untuk ketua polis KLIA yang baharu.

“Dengan skuter ini, respon polis akan lebih pantas dan rondaan akan lebih meluas.

“Ini adalah antara salah satu langkah yang akan diguna pakai polis tidak lama lagi.”

Dalam kejadian pagi semalam, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya di balai ketibaan KLIA tetapi tembakan itu tersasar sebelum suspek melarikan diri.

Bagaimanapun, satu tembakan terkena seorang pengawal peribadi. Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis kini memburu seorang lelaki dikenali sebagai Hafizul Harawi, 38, untuk membantu siasatan kes itu.

Sementara itu, Hussein berkata, polis di lokasi kejadian tidak ‘engage’ atau menangkap suspek kerana keutamaan ketika itu ialah keselamatan orang awam.

“Lebih baik kita keluarkan dia (suspek) dari kawasan itu dan selamatkan orang awam. Itu kaedah terbaik dari ‘engage’ dengan suspek yang bersenjata api.

“Kalau kita ‘engage’ dengan dia (suspek) keadaan akan lebih buruk. Dia akan lepas tembakan dan di situ adalah kawasan awam yang ramai orang, kanak-kanak pun ada,” katanya.

Beliau turut mengesahkan polis telah mengambil keterangan daripada 11 saksi bagi membantu siasatan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.