Pengawal peribadi terkena tembakan jalani pembedahan lagi esok

Pengawal peribadi terkena tembakan jalani pembedahan lagi esok

Isterinya, Siti Noraida Hassan, 38, berkata Muhammad Nur Hadith masih ditidurkan di Hospital Cyberjaya dan keadaannya belum stabil.

Muhammad Nur Hadith diusung keluar dari KLIA selepas terkena tembakan. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Pengawal peribadi yang dilaporkan masih kritikal selepas terkena tembakan disasarkan seorang lelaki kepada isterinya di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang semalam dijangka menjalani pembedahan lagi esok.

Isterinya, Siti Noraida Hassan, 38, berkata Muhammad Nur Hadith masih ditidurkan di Hospital Cyberjaya dan keadaannya belum stabil.

“Peluru itu terkena pada usus suami dan darah masih tidak berhenti. Saya dimaklumkan doktor menunggu darah berhenti dan keadaannya stabil sebelum melakukan sekali lagi pembedahan dijangka esok.

“Buat masa ini suami masih dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini, menurut Harian Metro.

Mangsa yang lebih dikenali sebagai Along terkena tembakan itu ketika melindungi majikannya, Farah Md Isa atau Farah Cie.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Farah berkata dia masih trauma dengan kejadian yang berlaku di depan matanya.

“Mohon maaf, mesej bertalu tidak berbalas… sekarang pengawal peribadi Farah masih tidak sedarkan diri.

“Sama-sama kita doakan kesembuhan Along sihat sedia kala. Amin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.