
Bagaimanapun, tertuduh Muhamad Hasrulnizam Hasim, 21, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Saiful Sayoti, menurut Berita Harian.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa cuba menyebabkan kematian ke atas seorang anggota polis lelaki selepas bertindak melarikan diri daripada ditahan dengan cara menghimpit dan cuba melanggar motosikal dinaiki anggota terbabit sehingga terbabas.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 9 April lalu antara 12.30 tengah hari hingga 1.15 tengah hari di Kilometer 5 Jalan Serting Tengah- Keratong di Jempol.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kesalahan trafik, pada tarikh sama 12.25 tengah hari di Kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan, di Jempol tertuduh didapati memandu lori dalam keadaan melulu dan merbahaya iaitu dengan sengaja menghimpit sehingga hampir melanggar kenderaan polis dan merbahaya kepada orang awam.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen Akta yang sama.
Dia juga didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) atas kesalahan memandu lori dengan tidak cermat terhadap pengguna jalan raya dan cuai sehingga melanggar sebuah motosikal.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM10,000 dan boleh dihukum penjara 12 bulan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Farahidah Zool Beri mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menawarkan jaminan RM18,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 6 Mei ini bagi pengurusan kes serta lantikan peguam.