Diskusi agama provokatif, kementerian panggil pihak terlibat

Diskusi agama provokatif, kementerian panggil pihak terlibat

Sesi itu diharap dapat menggalakkan persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat selain memastikan isu berbaur provokatif agama tidak berulang pada masa depan.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara K Saraswathy berkata pihaknya menekankan keupayaan seluruh rakyat meraikan kemajmukan etnik menjadi tunjang kekuatan negara.
PETALING JAYA:
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memanggil pihak dikenal pasti terlibat diskusi agama bersifat provokatif menerusi media sosial untuk menghadiri satu perbincangan bersemuka dalam masa terdekat sebagai langkah memperbaiki suasana keharmonian dalam negara.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy, dalam kenyataan berkata sesi itu turut diharap dapat menggalakkan persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat selain memastikan isu berbaur provokatif agama tidak berulang pada masa akan datang.

Beliau berkata, ia antara perkara dipersetujui oleh Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang ketika pertemuan pihak kementerian itu dan wakil Malaysia Hindu Sangam (MHS) hari ini.

“Menteri (Aaron) menekankan bahawa KPN sentiasa mengambil berat serta menggalakkan persefahaman dan sifat hormat antara penganut agama untuk memastikan setiap individu dapat mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing dengan aman.

“KPN ingin menekankan bahawa keupayaan seluruh rakyat meraikan kemajmukan etnik, kepelbagaian agama serta kekayaan budaya dan tradisi menjadi tunjang kekuatan negara,” katanya menurut Bernama.

Saraswathy berkata, inti pati pertemuan KPN dengan MHS antara lain menyentuh isu berkaitan kenyataan berbaur kebencian dan penghinaan agama menerusi media sosial yang disifatkan amat provokatif selain menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.