Konflik Iran-Israel: Persiapan haji TH seperti biasa, kata menteri

Konflik Iran-Israel: Persiapan haji TH seperti biasa, kata menteri

Mohd Na'im Mokhtar berkata setakat ini TH masih teruskan persiapan bagi musim haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, kerajaan akan sentiasa memastikan keselamatan jemaah negara terjamin. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Kerajaan berkata setakat ini Tabung Haji masih meneruskan persiapan musim haji tahun ini, di sebalik perkembangan terbaharu konflik melibatkan serangan udara Iran ke atas Israel.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, berkata pihaknya memantau situasi terkini di Timur Tengah, kesan daripada serangan berkenaan.

“Berhubung keselamatan para jemaah haji dan umrah dari Malaysia susulan ketegangan yang berlaku, Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) akan bekerjasama rapat dengan Wisma Putra, Motac termasuk Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“….bagi memastikan keselamatan jemaah haji dan umrah Malaysia terjamin berikutan perkembangan semasa ini,” katanya dalam kenyataan.

Na’im menegaskan semua pihak dimohon bertenang serta sentiasa merujuk pihak berkuasa dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklumat tepat dan sahih.

Tentera Israel dilaporkan berkata, Iran menyerang wilayah didudukinya menggunakan 290 misil dan dron, termasuk 100 peluru berpandu balistik.

Iran memulakan serangan udara pada Sabtu terhadap Israel sebagai tindak balas serangan terhadap kemudahan diplomatik negara itu, di Damsyik, pada 1 April. Serangan terbabit mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh anggota Pengawal Revolusi Iran (IRGC), termasuk dua jeneral.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.