Kes tembak di KLIA: Suspek pernah ditahan, ada 3 rekod jenayah

Kes tembak di KLIA: Suspek pernah ditahan, ada 3 rekod jenayah

Polis berkata, suspek ditahan Februari lalu kerana melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya, yang membuat dua laporan terhadapnya pada 2016 dan 2023.

Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek memiliki dua rekod jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta satu lagi membabitkan kes mencuri dan menyamar penjawat awam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis berkata, suspek melepaskan tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek ditahan Februari lalu kerana melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya, yang membuat dua laporan terhadapnya di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada 2016 dan 2023.

Katanya, suspek turut mempunyai satu lagi rekod jenayah di bawah Seksyen 380/170 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan menyamar sebagai penjawat awam.

Beliau berkata, suspek mendapatkan pistol itu secara haram kerana tidak memiliki permit senjata api.

“Apa yang berlaku pagi tadi telah berlaku,” katanya dalam sidang media di KLIA, Sepang.

“Saya sarankan suspek supaya datang ke mana-mana balai dan serah diri secara aman. Jangan kita ikut amarah kita, ia akan memburukkan lagi keadaan.”

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, seorang pengawal peribadi cedera parah selepas terkena satu daripada dua das tembakan dilepaskan suspek di Balai Ketibaan KLIA kira-kira 1.30 pagi tadi.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Beliau berkata, suspek dipercayai sudah melarikan diri ke utara.

Shuhaily berkata, siasatan awal menunjukkan motif kejadian akibat masalah peribadi antara pasangan itu yang memiliki sebuah agensi pelancongan serta dikatakan dalam proses bercerai, dengan mangsa dipercayai di peringkat awal kehamilan.

Dalam kejadian awal pagi tadi, katanya, suspek pada mulanya melempar mercun hingga mencederakan dua orang awam, sebelum menghampiri mangsa yang diiringi dua pengawal peribadi dan melepaskan dua tembakan pada jarak 3m hingga 4m.

Menurutnya, pengawal peribadi yang terkena tembakan di perut itu kini dalam keadaan kritikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.