
“Saya akan mengadakan mesyuarat khas petang ini bersama beberapa menteri dan pegawai berkaitan perkara itu,” katanya kepada pemberita.
“Apa yang berlaku di sana (Timur Tengah) akan memberi kesan ke atas keamanan dan ekonomi dunia.”
Ditanya sama ada kerajaan akan membawa keluar rakyat Malaysia dari Iran, Anwar berkata “kita akan bincangkannya dalam mesyuarat nanti.”
Tentera Israel dilaporkan berkata, Iran menyerang wilayah didudukinya menggunakan 290 misil dan dron, termasuk 100 peluru berpandu balistik.
Iran memulakan serangan udara pada Sabtu terhadap Israel sebagai tindak balas serangan terhadap kemudahan diplomatik negara itu, di Damsyik, pada 1 April. Serangan terbabit mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh anggota Pengawal Revolusi Iran (IRGC), termasuk dua jeneral.
Dalam perkembangan berasingan, Anwar menekankan kepentingan semua pihak dalam kerajaan perpaduan bekerja bersama.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, yang menggelar seorang menteri “bodoh” kerana mengaitkan boikot dengan kesengsaraan ekonomi dirasai pasangan berkahwin.
“Saya tidak mahu melayan kenyataan seperti itu. Ia benar-benar dalam fikiran saya, ia bukan dalam konteks betul dalam kerajaan perpaduan. Kita perlu bekerja bersama,” katanya kepada pemberita.
Akmal, yang menyeru kepada pemboikotan jaringan kedai serbaneka, KK Mart, susulan penemuan stoking tertera kalimah Allah, mengecam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming kerana cuba mengaitkan kesengsaraan didepani satu pasangan berkahwin disebabkan tindakan boikot.
Dalam hantaran di X, Nga berkata akibat boikot yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, pekerja-pekerja kita terpaksa menanggung sengsara.
Nga, yang juga naib pengerusi DAP, berkongsi keratan berita satu pasangan berkahwin berusia 50-an, yang mana shif kerja mereka di sebuah restoran makanan segera tidak dibenar dengan gaji dipotong susulan boikot berlarutan berkait isu rakyat Palestin.