
Ronald Kiandee mengesyorkan peruntukan kepada setiap Ahli Parlimen tak kira pembangkang ataupun kerajaan dibuat ‘secara perlembagaan’ agar menjadi kewajipan kepada pemerintah.
“Maknanya siapa saja kerajaan peruntukan termaktub diuntukkan kepada semua termasuk pembangkang,” katanya kepada FMT.
“Maknanya siapa sahaja duduk di kerusi perdana menteri, dia perlu bagi peruntukan kepada semua Ahli Parlimen.”
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof mengumumkan majlis pimpinan tertinggi sekretariat kerajaan perpaduan akan bermesyuarat pada Rabu depan bagi membincangkan isu peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang.
Mesyuarat itu menyusuli perjumpaan dengan pemimpin Perikatan Nasional pada 19 Mac lalu, yang disertai oleh Kiandee, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, dan Ketua Whip Takiyuddin Hassan.
Sementara itu, Kiandee berkata pemberian peruntukan kepada pembangkang mengiktiraf peranannya untuk semak dan imbang.
“PN akan memainkan peranan sedemikian,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjelaskan bahawa perkara yang dibangkitkan oleh pembangkang ialah mengenai peruntukan Ahli Parlimen untuk memohon wang bagi tujuan-tujuan politik wakil rakyat.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata peruntukan akan disalurkan jika mereka bersedia berunding dengan kerajaan, seperti ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.