
PETALING JAYA: Seorang maut, manakala 10 lagi cedera dalam nahas dua kenderaan dekat Sungai Alit di Jalan Sibu-Bintulu, semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa berusia 19 tahun yang menaiki Perodua Axia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Tujuh mangsa dikeluarkan orang awam, manakala tiga yang terperangkap dalam kereta dikeluarkan pasukan bomba.
“Semua mangsa diserahkan kepada paramedik untuk rawatan selanjutnya,” katanya menurut Harian Metro.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu untuk bedah siasat.