Ahli Parlimen dikecam tak simpati masalah Orang Asli

Ahli Parlimen dikecam tak simpati masalah Orang Asli

Dua aktivis berkata, Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong nampaknya berhasrat melaksanakan kerenah birokrasi berbanding membantu menyelesaikan masalah dihadapi pengundinya.

Penduduk Kampung Orang Asli Selai di Segamat, Johor, dipercayai terputus bekalan air selama setahun. (Gambar Facebook) (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen DAP dikecam kerana tiada perasaan terhadap masyarakat Orang Asli di Johor yang menghadapi masalah bekalan air.

Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh berkata, Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong “tiada empati atau simpati” apabila menggesa komuniti itu membuat permohonan melalui saluran betul untuk dana membaiki paip.

Mereka berkata, DAP sepatutnya membantu Orang Asli, bukannya membangkitkan soal kerenah birokrasi kerana tiada keperluan untuk rakyat termiskin, seperti Orang Asli, untuk mengikut prosedur dalaman ditetapkan pihak berkuasa.

“Ahli Parlimen Labis nampaknya tidak mengambil langkah proaktif untuk membantu Orang Asli,” kata dua aktivis itu kepada FMT.

Pang Hok Liong.

Semalam, Pang dipetik Malaysiakini sebagai berkata, permohonan dana perkampungan Orang Asli itu mesti dikemukakan majlis pengurusan komuniti kampung, bukannya oleh Tok Batin atau ketua kampung.

Penduduk Kampung Orang Asli Selai di Segamat, Johor dilaporkan terpaksa menggunakan kayu dan batu untuk membaiki paip serta empangan tadahan air.

Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Orang Asli Johor, Achai @ Juti Kais berkata, penduduk kampung itu berdepan masalah bekalan air dan kekurangan air paip selama setahun.

Achai turut kecewa dengan Pang, Adun Bekok, Tan Chong dan pejabat pembangunan Orang Asli daerah atas kekurangan tindakan mereka.

Kelmarin, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor menafikan dakwaan ia meminggirkan penduduk Kampung Orang Asli Selai kerana kampung itu menerima bekalan air pelbagai sumber yang dibangunkan Jakoa.

Rajesh dan Sachpreetraj berkata, Pang nampaknya berhasrat melaksanakan kerenah birokrasi berbanding membantu menyelesaikan masalah dihadapi pengundinya.

Mereka berkata, Pang sepatutnya membantu Orang Asli, tetapi jika gagal berbuat demikian, dia perlu meletak jawatan dan memberi laluan kepada individu lain berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Labis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.