SUPP ada kelebihan agihan kerusi, kata penganalisis

SUPP ada kelebihan agihan kerusi, kata penganalisis

Jeniri Amir berkata, kedudukan Parti Rakyat Bersatu Sarawak diperkukuhkan selepas PRN 2021.

Seorang penganalisis berkata, Pengerusi GPS, Abang Johari Openg mungkin cenderung dengan permintaan SUPP disebabkan pakatan lama mereka.
PETALING JAYA:
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan mempunyai pengaruh besar dalam pengagihan semula kerusi, khasnya yang dimenangi Parti Sarawak Bersatu (PSB) sudah dibubarkan, kata penganalisis.

Felo Majlis Profesor, Jeniri Amir berkata, kuasa tawar-menawar SUPP datang daripada kedudukannya yang diperkukuhkan selepas memenangi 13 daripada 18 kerusi ditandinginya pada PRN 2021, menjadikannya parti kedua terbesar dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“SUPP menang banyak kerusi pada PRN lalu. Ia peningkatan besar berbanding pilihan raya terdahulu. Saya rasa SUPP ada kelebihan,” katanya kepada FMT.

Pengerusi GPS, Abang Johari Openg berusaha menepis spekulasi perbalahan dalaman GPS susulan pembubaran PSB dan peralihan pemimpinnya kepada Parti Demokratik Progresif (PDP).

Ketika ditanya apa yang akan berlaku kepada kerusi diperuntukkan kepada SUPP, tetapi dimenangi PSB pada PRN 2021, Premier Sarawak itu berkata, gabungan pemerintah akan buat keputusan apabila tiba masanya.

Abang Johari berkata, hanya dua kerusi – Bawang Assan dan Engkilili – akan menjadi perebutan memandangkan Ba’Kelalan secara tradisinya ditandingi PDP.

Jeniri berkata, Abang Johari mungkin cenderung kepada permintaan SUPP disebabkan pakatan lama mereka berbanding bekas ahli PSB yang kini bersama PDP.

“Abang Johari perlu mendengar (permintaan) SUPP memandangkan ia setia selama ini.”

Katanya, SUPP akan mempertahankan kerusi tradisinya seperti Bawang Assan, yang kini disandang Wong Soon Koh, bekas ahli SUPP.

Wong yang merupakan Adun Bawang Assan sejak 1991, dipecat parti itu pada 2014.

“Berbalik kepada sejarah, kerusi ini secara tradisinya milik SUPP dan mereka tidak akan menyerahkannya dengan mudah kepada (bekas ahli PSB),” kata Jeniri.

James Chin dari Universiti Tasmania bagaimanapun berkata, dua kerusi dipertikaikan itu mungkin diagihkan kepada PDP.

“Prinsip GPS ialah penyandang mendapat kerusi itu,” katanya sambil memberi amaran berhubung konflik mungkin timbul jika kerusi itu diberikan kepada SUPP dan ahli PDP mungkin memilih untuk menyokong calon bebas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.