
Mohd Azizol Abd Rasheed, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret T Ashvinii.
Pembantu kedai makanan itu didakwa memasukkan Tetrahydro-Cannabinol (THC) ke dalam dirinya dengan cara menyalahi undang-undang di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Hilir Perak dekat sini, kira-kira 7.45 malam 10 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Pindaan 2003) dan dibaca bersama Seksyen 38B (1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, R Rishan Kumar menawarkan jaminan RM8,000 dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, selain memaklumkan tertuduh direman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Faustina Francis yang mewakili Azizol merayu jaminan minimum atas alasan dia menanggung ibunya.
Majistret menetapkan jaminan RM3,000 dengan dua penjamin, selain syarat tambahan lelaki itu perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap dua minggu sekali dan menetapkan 5 Jun ini untuk sebutan semula kes serta serahan laporan patologi.
Terdahulu, di mahkamah sama, empat lelaki warga Pakistan berumur 24 tahun hingga 49 tahun, yang didakwa memukul Azizol dalam video tular di laman sosial sebelum ini direman empat hari hingga Isnin depan.
Majistret membenarkan permohonan polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Dua hari lalu, media melaporkan hajat enam warga Pakistan mengerjakan solat sunat Aidilfitri tidak kesampaian apabila tiga daripadanya maut dilanggar kereta terbabas di KM16 Jalan Teluk Intan-Bidor di sini.
Ketua Polis Hilir Perak, Ahmad Adnan Basri dilaporkan berkata, dalam kejadian 8.10 pagi itu, semua mangsa sedang berjalan ke masjid berdekatan apabila Proton Saga dipandu seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah terbabas dan melanggar mereka.
Semalam, media melaporkan polis menahan empat warga Pakistan kerana memukul pemandu kereta terbabit susulan kemalangan yang mengorbankan tiga rakan senegara mereka di lokasi kejadian.