
Ketua Polis Melaka, Zainol Samah berkata, anggota 37 tahun itu ditahan di IPD Alor Gajah pada 9 pagi tadi dan rakaman percakapan masih dijalankan terhadapnya.
“Saringan ujian air kencing turut dijalankan dan anggota itu bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, enam laporan diterima berkaitan insiden itu, dengan tiga rakaman percakapan direkodkan, termasuk ahli keluarga mangsa.
Kes itu diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas mangsa meninggal dunia di Hospital Melaka pada 12.37 tengah malam semalam.
Beliau mengulangi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus dan profesional, manakala orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi IPD Alor Gajah 06-5563222 bagi membantu siasatan.
Semalam, media melaporkan seorang penunggang motosikal meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka selepas dipercayai merempuh kenderaan polis sedang menjalankan rondaan Op Cegah Lumba Haram di Jalan Gangsa-Kesang, Durian Tunggal pada 1 Syawal.
Mohammad Khairul Basahri, 18, yang menunggang Yamaha 135 LC meninggal dunia semalam akibat kecederaan dalaman, selain patah kaki dan paha dalam kejadian 2.56 pagi Rabu.