Kelindan lori mengaku tak salah tikam adik tiri

Kelindan lori mengaku tak salah tikam adik tiri

L Thiyagaraj, 52, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap L Dewi, 31, menggunakan pisau pemotong sayur pada Isnin lalu.

L Thiyagaraj mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas tuduhan menikam adik tirinya menggunakan pisau. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas tuduhan menikam adik tirinya menggunakan pisau, Isnin lalu.

L Thiyagaraj, 52, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret T Ashvinii, menurut Berita Harian.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap L Dewi, 31, menggunakan pisau pemotong sayur di sebuah rumah di Taman Muhibbah pada 8 malam Isnin lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau disebat, atau mana-mana daripada dua hukuman berkenaan.

Tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan, iaitu penjara hingga dua kali ganda daripada hukuman penjara dikenakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Pegawai Pendakwa Noor Aisyah Mat Isa mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Faustina Francis.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh berjumpa dengan mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 9 Mei depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sebelum ini, lelaki itu ditahan susulan laporan polis dibuat mangsa yang mendakwa cedera di belakang badannya akibat ditikam abang tirinya.

Kejadian itu dikatakan berpunca daripada pertengkaran antara mangsa dan tertuduh, sebelum lelaki itu bertindak di luar kawalan dengan mengambil pisau pemotong sayur dan menikam mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.