Wang ihsan ringan beban Kelantan bayar emolumen

Wang ihsan ringan beban Kelantan bayar emolumen

Menteri besar Kelantan berkata wang ihsan akan dimanfaatkan untuk bayar emolumen sektor awam.

Pemberian wang ihsan oleh kerajaan persekutuan akan bantu ringankan beban kerajaan negeri, kata menteri besar Kelantan. (Gambar Facebook)
PASIR MAS:
Kelantan akan memanfaatkan wang ihsan yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan pada minggu lepas untuk membayar emolumen sektor awam seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Kewangan.

Menteri Besar Mohd Nassuruddin Daud berkata sekalipun kerajaan negeri ada peruntukan untuk tujuan itu, pemberian wang ihsan tersebut membantu meringankan beban yang ditanggung.

“Saya ucap terima kasih kepada perdana menteri sentiasa bantu Kelantan, bukan sahaja wang ihsan tetapi dalam perkara lain juga,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis rumah terbuka menteri besar di Maahad Tahfiz Kampung Meranti.

“Hubungan kita dan persekutuan baik sejak dari dulu lagi. Semua perkara boleh bincang dan perdana menteri beri jaminan bahawa beliau turut beri perhatian kepada Kelantan,” tambah beliau.

Minggu lepas, kerajaan persekutuan menyalurkan wang ihsan berjumlah RM172.3 juta kepada kerajaan Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kelantan bagi membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.