Tak sempat solat raya, 3 warga Pakistan maut dilanggar pemandu khayal

Tak sempat solat raya, 3 warga Pakistan maut dilanggar pemandu khayal

Tiga lagi warga asing itu parah dan dirawat di Hospital Teluk Intan.

Polis berkata, enam warga Pakistan itu sedang berjalan ke masjid berdekatan apabila Proton Saga dipandu seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah terbabas dan melanggar mereka. (Gambar PDRM)
IPOH:
Hajat enam warga Pakistan mengerjakan solat sunat Aidilfitri tidak kesampaian apabila tiga daripadanya maut dilanggar kereta terbabas di KM16 Jalan Teluk Intan-Bidor di Teluk Intan semalam.

Ketua Polis Hilir Perak, Ahmad Adnan Basri berkata, dalam kejadian 8.10 pagi itu, semua mangsa sedang berjalan ke masjid berdekatan apabila Proton Saga dipandu seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah terbabas dan melanggar mereka.

“Hasil siasatan mendapati kereta dipandu lelaki tempatan 36 tahun itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan dan melanggar enam pejalan kaki yang melalui bahu jalan tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, mangsa maut berusia 20 hingga 35 tahun, manakala tiga yang parah dirawat di Hospital Teluk Intan, dengan semuanya mempunyai permit kerja dan dokumen perjalanan sah.

Katanya, saringan awal air kencing pemandu kereta itu didapati positif ganja dan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian.

Menurutnya, pemandu kereta itu bekerja sebagai pembantu kedai makan di kawasan Teluk Intan.

Orang ramai mempunyai maklumat mengenai nahas itu diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959 atau 05-612 2222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.