Syarikat penerbangan Sarawak dijangka operasi 2025

Syarikat penerbangan Sarawak dijangka operasi 2025

Syarikat itu sudah mempunyai nama namun belum boleh didedahkan, kata premier Sarawak.

Kerajaan Sarawak sebelum ini dilapor sedang menjalankan proses penilaian wajar terhadap MASwings sebagai persediaan mengambil alih syarikat berkenaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Syarikat penerbangan yang dimiliki kerajaan Sarawak dijangka akan mula beroperasi seawal 2025, kata Premier Abang Johari Abang Openg.

Katanya, proses mengambil alih syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) sedang berlangsung, selepas persetujuan secara prinsip oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, Kementerian Pengangkutan, dan Malaysia Aviation Group.

“Apa yang berlaku kini ialah perbincangan mengenai aspek teknikal pengambilalihan tersebut.

“Saya jangka mungkin pada bulan Ogos atau selewat-lewatnya hujung tahun ini boleh selesai. Kita akan ada syarikat penerbangan kita sendiri pada 2025,” katanya, kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di Kuching.

Abang Johari juga mengesahkan sudah mempunyai nama untuk syarikat tersebut namun belum boleh didedahkan.

“Modelnya saya akan umum nanti. Namanya sudah ada. Mudah-mudahan tahun hadapan sudah boleh beroperasi,” katanya lagi.

Kerajaan Sarawak sebelum ini dilapor sedang menjalankan proses penilaian wajar terhadap MASwings Sdn Bhd sebagai persediaan mengambil alih syarikat penerbangan berkenaan.

Sementara itu, Abang Johari berkata tiada makluman daripada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berhubung pertemuan antara kerajaan negeri dengan kementerian mengenai penangguhan pendaftaran Pangkalan Data Utama (Padu).

“Setakat ini tidak ada… kami masih menunggu,” katanya.

Pada 28 Mac lalu, Abang Johari berkata Rafizi serta barisan pegawainya mengesahkan akan berkunjung ke Kuching bagi mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak bagi membincangkan isu penangguhan pendaftaran Padu di negeri tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata, walaupun Sarawak mengarahkan penangguhan pendaftaran Padu, negeri tetap menyokong objektif inisiatif kerajaan persekutuan itu dalam pengagihan bantuan serta subsidi bersasar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.