Hadi dihalang masuk Sarawak? Kena tanya Abang Jo, kata timbalan premier

Hadi dihalang masuk Sarawak? Kena tanya Abang Jo, kata timbalan premier

Hanya Premier Sarawak Abang Johari Abang Openg mempunyai kuasa untuk menghalang mana-mana individu memasuki Sarawak.

Sim Kui Hian berkata hanya Abang Johari boleh menjawab sama ada Hadi dihalang masuk ke Sarawak atau sebaliknya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Persoalan sama ada Presiden PAS Abdul Hadi Awang dihalang memasuki Sarawak hanya boleh dijawab Premier Sarawak Abang Johari Abang Openg, kata timbalannya, Dr Sim Kui Hian.

Sim berkata, ini kerana hanya Abang Johari mempunyai kuasa untuk menghalang mana-mana individu daripada memasuki Sarawak.

“Tetapi bagaimana anda tahu beliau belum lagi mengambil tindakan itu (menghalang Hadi masuk Sarawak),” katanya menurut Borneo Post.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendiriannya sama ada Hadi perlu dihalang daripada menjejakkan kaki ke Sarawak susulan kenyataan kontroversinya yang didakwa berbaur perkauman berkaitan isu rasuah di mahkamah.

Pada 20 Ogos lalu, Hadi mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah kumpulan majoriti perosak politik dan ekonomi negara.

Dakwaan itu kemudian mencetuskan polemik antara pelbagai pihak yang menyaksikan 28 laporan dibuat terhadapnya dan polis sudah mengambil keterangan Ahli Parlimen Marang itu baru-baru ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.