
Bercakap kepada FMT, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata teguran Tengku Zafrul Aziz yang meletak jawatan sebagai bendahari Umno Selangor pada 1 April lalu harus diambil serius.

Menurutnya, susulan dakwaan itu Zahid harus menilai secara menyeluruh prestasi Umno Selangor diketuai Megat Zulkarnain Omardin yang juga setiausaha politiknya.
“Untuk berlaku adil, penilaian ini harus merangkumi seluruh negeri yang lain…asasnya jelas, Umno masih gagal bangkit selepas kekalahan teruk pasca PRU15 dan PRN lalu.
“Sindrom penafian kerap berlaku apabila kelemahan dibangkitkan, sedangkan tidak nampak usaha untuk memulihkan Umno secara dalaman dengan berkesan,” katanya sambil memberi amaran keadaan itu akan menyebabkan “ahli putih Umno” menyokong lawan iaitu Perikatan Nasional (PN).
Pada 6 April lalu, Zafrul yang meletak jawatan bendahari Umno Selangor lima hari sebelum itu membidas tiada usaha “gigih” memperbaiki parti di negeri itu selepas kalah teruk pada PRN Ogos lalu.
Namun, beliau kekal ahli Majlis Kerja Tertinggi dan ketua Umno Kota Raja.
Zafrul yang juga menteri pelaburan, perdagangan dan industri mendakwa prestasi Umno merosot apabila hanya menang dua daripada 12 kerusi ditandingi sepatutnya menjadi amaran untuk berubah, namun sehingga kini tiada “post mortem” dilakukan.
Dakwa Zafrul, beliau pernah mencadangkan beberapa langkah untuk mengembalikan kegemilangan Umno Selangor, namun ditolak.
Umno Selangor menerusi Ketua Penerangannya Mohd Zaidi Md Zain menafikannya dan mempersoalkan sama ada Zafrul mempunyai motif tertentu.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berpendapat ketika ini sukar untuk mana-mana pemimpin, termasuk Zafrul mengubah nasib Umno Selangor yang hilang pemerintahan negeri itu sejak 2008.
“Pandangan Zafrul mungkin bersifat peribadi dari kaca mata seorang elit politik…mungkin betul daripada seorang yang sederhana, namun kalau beliau diberi peluang, mungkin sukar laksana misi dan dasar.
“Perubahan Umno bukan ubah pimpinan tetapi pendekatan politik sesuai dengan Selangor sebagai negeri maju,” katanya yang turut senada dengan Hisommudin supaya penilaian rombakan turut meliputi struktur di negeri lain.