
Johari berkata hasrat itu disampaikan kepada Duta Besar Ragai Tawfik Said Nasr yang hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediaman rasminya.
“Baru-baru ini ada permintaan untuk kita menghantar lagi bantuan makanan dan perubatan… kerajaan kita komited, cumanya tadi Duta Mesir ada di sini, jadi kita mintalah kalau boleh juga bukakan sempadan itu.
“Sebab saya difahamkan oleh beberapa Ahli Parlimen kita yang melawat sempadan baru-baru ini, ada lebih kurang 60 ke 70 trak makanan dan perubatan yang kita hantar tersadai hampir dua hingga tiga bulan tidak boleh masuk,” katanya kepada pemberita.
Turut hadir Perdana Menteri Anwar Ibrahim, para menteri, Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng San, bekas Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof, beberapa perwakilan asing serta pegawai kanan kerajaan.
Pada masa sama, Johari menegaskan bahawa konflik Palestin dan Israel bukan sekadar membabitkan umat Islam semata-mata, malah melibatkan soal hak asasi kemanusiaan secara keseluruhannya memandangkan rakyat Palestin datang daripada pelbagai latar belakang agama.