
Beliau berkata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad akan meneliti keperluan terbabit serta permasalahan lain untuk dibawa kepada perhatian Jemaah Menteri.
“Kita lihat sendiri macam kawasan wad kelas tiga itu panas sikit dan sesak, dan menteri (Dzulkefly) akan bawa untuk perhatian Jemaah Menteri agar kita segerakan mana yang perlu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, diiringi oleh Dzulkefly dan Pengarah HKL Dr Rohana Johan, melawat pesakit yang sedang dirawat di wad perubatan kelas tiga hospital itu, di sini.
Anwar berkata beliau yakin Dzulkefly dan Dr Rohana dimaklumkan masalah yang mendesak dan perlu diberi perhatian oleh Kementerian kesihatan serta kerajaan, bagi memastikan penyediaan prasarana yang lebih baik di hospital berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau mahu kajian menyeluruh dibuat tentang pemerolehan ubat-ubatan oleh semua hospital dan klinik kerajaan di negara ini agar tidak berlaku pembaziran dan kerugian.
“Apakah ubat-ubatan itu digunakan sepenuhnya, tidak ada pembaziran dan apakah keutamaan… itu kita perlu beri tumpuan kepada HKL kerana jumlah (yang diperlukan) lebih besar.
“… tetapi kita juga kena beri tumpuan kepada klinik di Kapit, klinik di Manek Urai umpamanya… jadi hal ini dilihat keseluruhannya oleh kementerian dan kita buat keputusan,” jelas beliau.
Perdana menteri turut mengucapkan tahniah kepada HKL atas kecemerlangan prestasi hospital itu yang mendapat pengiktirafan dunia, dan beliau berharap pencapaian tersebut akan menjadi galakan kepada semua pihak untuk meningkatkan usaha dan khidmat mereka.