
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata, pencemaran dipercayai berpunca daripada diesel itu dikesan di muka sauk loji berkenaan pada kira-kira 9.30 pagi.
Beliau berkata, bau hingga 2 ton dikesan di pembetung sebelum memasuki Sungai Langat di kawasan berkenaan, disyaki akibat sisa diesel daripada kawasan perindustrian berdekatan.
“Siasatan Luas di hulu sungai tidak menemukan sebarang punca yang disyaki berpotensi menyebabkan pelepasan kesan minyak berkenaan,” katanya, lapor Bernama.
“Pemerhatian lanjut Luas di lokasi (yang disyaki) menemukan tapak bekas cucian diesel di hadapan premis kosong di kawasan perindustrian tersebut yang dipercayai terdapat aktiviti pencucian kenderaan dan pelepasan bahan diesel ke dalam pembetung.”
Berikutan itu, Jamaliah berkata, Luas segera melaksanakan tindakan pencegahan dengan meletakkan 12 “oil pad” dan dua beg karbon aktif (AC) seberat 50kg di dalam pembetung berkenaan bagi untuk tujuan nyahbau, memerangkap serta menghalang aliran kesan minyak dari mengalir ke Sungai Langat.
Kataya, Luas juga melantik kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyedutan sisa minyak di kawasan terlibat, yang selesai sepenuhnya pada 9.40 malam tadi.
Beliau menambah, Luas juga telah melaksanakan pemantauan intensif bau dan kesan minyak di Sungai Langat setiap 30 minit, melibatkan jarak sekitar 400m di antara lokasi itu ke LRA Cheras Batu 11.
“Verifikasi Luas di lokasi terlibat mengesahkan bacaan bau sifar ton, dan tiada lagi kesan minyak ditemukan.
“Tindakan mitigasi segera Luas ini berjaya memastikan tiada gangguan bekalan air kepada pengguna,” katanya.
Jamaliah turut menyeru semua pihak agar prihatin terhadap kegiatan dan tindakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri, terutamanya semasa musim perayaan.