Lori lari sekatan dikejar 50km, polis lepas 10 tembakan

Lori lari sekatan dikejar 50km, polis lepas 10 tembakan

Polis terpaksa melepaskan tembakan ke bahagian tayar lori supaya suspek berhentikan kenderaan.

Seorang individu yang lari daripada sekatan jalan raya ditangkap di dalam kawasan ladang sawit selepas dikejar sejauh 50km. (Gambar X)
JEMPOL:
Seorang pemandu lori yang lari daripada sekatan jalan raya dan dikejar sejauh 50 kilometer diberkas polis semalam.

Ketua Polis Jempol, Hoo Chang Hook, berkata dalam kejadian itu polis terpaksa melepaskan 10 das tembakan ke bahagian tayar lori yang dipandu lelaki berusia 21 tahun itu, di Kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan.

“Ketika kejadian, sebuah lori yang dipandu suspek secara tiba-tiba membuat pusingan U di garisan berkembar, hingga menyebabkan berlaku kemalangan dengan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berumur 40 tahun.

“Pemandu itu juga memandu secara merbahaya dan beberapa kali menghimpit motosikal ditunggang seorang anggota polis trafik ke laluan bertentangan dan hampir melanggar anggota tersebut serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan.

Hoo berkata anggota polis tersebut terpaksa melepaskan das tembakan ke bahagian tayar lori itu supaya suspek memberhentikan kenderaan.

“Suspek terus melarikan diri dalam keadaan tayar pecah. Bagaimanapun dengan bantuan kereta peronda MPV, lelaki itu ditangkap di dalam kawasan ladang sawit,” katanya.

Suspek dibawa ke IPD Jempol bagi siasatan lanjut dan dapati positif methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan, dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.