Zaid puji Zambry campur tangan pertikaian doktor-MPM

Zaid puji Zambry campur tangan pertikaian doktor-MPM

Bekas menteri undang-undang itu berkata, kerajaan perlu menunjukkan ia tidak takut mempertahankan kepentingan awam berbanding badan profesional.

Zaid Ibrahim berkata kerajaan perlu campur tangan dan bertindak segera apabila masalah berterusan walaupun profesion dikawal badan profesional masing-masing.
PETALING JAYA:
Zaid Ibrahim memuji campur tangan Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, dalam pertikaian Majlis Perubatan Malaysia (MPM) dan graduan Universiti Sains Malaysia (USM) berhubung isu tidak mengiktiraf pakar.

Bekas menteri undang-undang itu berkata, doktor dan pakar bedah berkelayakan tidak perlu mendapatkan keadilan menerusi mahkamah kerana menjadi tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM) untuk “membetulkan kesilapan” MPM.

Katanya, kerajaan perlu campur tangan serta bertindak segera apabila masalah berlarutan walaupun pelbagai profesion dikawal selia badan profesional masing-masing, misalnya peguam di bawah Badan Peguam dan doktor di bawah MPM.

“Saya tak faham kenapa menteri kesihatan dan pendidikan tinggi tidak boleh menggunakan kuasa mereka untuk beritahu MPM bahawa kebajikan pesakit serta amalan perubatan bukan bidang kuasa eksklusif majlis itu.

“Bagus, Zambry. Tunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan ambil serius peranannya dan tidak takut campur tangan bagi mempertahankan kepentingan awam apabila badan profesional sukar mengimbangi kepentingan mereka dan orang ramai,” katanya dalam catatan X.

Semalam, Zambry dilaporkan berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bercadang mengadakan pertemuan dengan KKM dan MPM bagi mencari penyelesaian isu kursus kepakaran tidak diiktiraf universiti tempatan.

Menurutnya, pertemuan itu juga akan melibatkan wakil USM dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Semua hospital pengajar terletak bawah bidang kuasa KPT.

Enam graduan USM dalam bidang patologi (genetik perubatan) berusaha mendapatkan semakan kehakiman untuk memaksa MPM mendaftarkan mereka dalam Daftar Pakar Kebangsaan supaya boleh berkhidmat sebagai pakar.

Mereka mendakwa keengganan MPM menyenaraikan mereka sebagai pakar “tidak munasabah dan tidak rasional”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.