MCA terus semak, imbang kerajaan, kata Wee

MCA terus semak, imbang kerajaan, kata Wee

Presiden Wee Ka Siong berkata bagaimanapun parti itu akan mendukung apa jua keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Presiden MCA Wee Ka Siong bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Putrajaya hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
MCA akan terus menjalankan tanggungjawab dan melaksanakan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan, kata Presiden Wee Ka Siong.

Bagaimanapun, katanya parti itu akan mendukung apa jua keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menurut Wee, beberapa isu rakyat dibangkitkannya ketika pertemuan selama sejam bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Putrajaya, hari  ini.

“Saya turut menyampaikan beberapa pandangan daripada MCA berhubung isu-isu semasa khususnya berkaitan ekonomi, pendidikan, hubungan kaum, kos sara hidup, Padu (Pangkalan Data Utama) dan dasar yang memerlukan perhatian serius kerajaan,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ayer Hitam juga membawa isu berkaitan pembangunan infrastruktur di kawasannya dalam pertemuan tersebut.

“Antaranya seperti cadangan menarik taraf Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) kepada sebuah majlis perbandaran, projek pembinaan pasar awam Yong Peng dan pembangunan Yong Peng High School,” katanya.

Pada 7 Jan lalu, FMT melaporkan Wee berkata walaupun MCA menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar parti itu tidak sesekali akan menjadi “pak turut” semata mata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.