
Dalam majlis itu, mereka juga menerima sumbangan duit raya dan ada antaranya mendapat barangan keperluan asas.
Minggu lalu, FMT dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menganjurkan Majlis Ihya Ramadan untuk meraikan 50 bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara.
Sedar kebanyakan bekas atlet hidup dalam kesusahan, FMT bersama dermawan tidak ingin dikenali turut menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Yakeb untuk diagihkan kepada ahli naungannya.
Penyampaian sumbangan RM50,000 itu disempurnakan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Bekas jaguh bina badan, Malek Noor, menyifatkan usaha mengumpul dan meraikan bekas atlet pernah mengharumkan nama negara sesuatu yang baik dan harus lebih kerap diadakan.
“Bila kita sudah berumur dan pencen, kita diketepikan. Itu memang adat dunia. Tapi tak boleh macam itu. Kita mewaliki negara, menyumbangkan pingat emas, menaikkan nama negara, menaikkan bendera negara.
“Ada antara kami pecah rekod dunia dan Asia. Sepatutnya bekas atlet diberi pencen,” katanya yang kini pengarah eksekutif Universal Fitness and Leisure (UFL).
Antara bekas atlet yang hadir adalah Ahmad Amil Husin (boling), Azizah Taib (olahraga OKU), Muhammad Khalid Jamlus (bola sepak) dan Nurul Shakina Abdullah (renang OKU).

Rai artis veteran
Sementara itu, bulan lalu FMT bekerjasama dengan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mengadakan majlis iftar dihadiri sekurang-kurangnya 50 artis veteran.
Dalam majlis itu, FMT turut menyampaikan dana RM50,000 hasil sumbangan dermawan berkenaan kepada Presiden Karyawan Freddie Fernandez yang disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali, untuk diagihkan kepada artis tidak berkemampuan naungannya.
Penyanyi dan pelakon veteran, Sophia Ibrahim, 76, berkata program itu membolehkannya bertemu rakan artis yang lama tidak bersua.
“Program ini boleh menjalinkan hubungan sesama artis yang sudah lama tidak berjumpa. Ramai kawan-kawan sudah meninggalkan kita.
“Jutaan terima kasih kepada FMT dan Karyawan kerana memberikan sumbangan…maklumlah tidak semua artis bernasib baik,” katanya yang sehingga kini masih menerima tawaran berlakon serta undangan menyanyi.

Pelakon Margaret Tan, 82, terharu diundang ke majlis itu sekali gus menerima sumbangan yang padanya boleh meringankan beban menjelang 1 Syawal.
“Kita ini artis yang tidak lagi dapat tawaran berlakon, sumbangan ini sangat bermakna. Terima kasih FMT dan pihak terlibat yang menganjurkan program sebegini,” katanya yang memeluk Islam pada 2022.
Antara artis yang hadir adalah Allahyarham Jaafar Onn, Sazali P Ramlee, Hail Amir, Mak Jah, Sophia Ibrahim, Zaiton Sameon, Norlia Ghani, Zur Eda dan Tokki.