Aidilfitri tahun ini mungkin paling mencabar, kata Muhyiddin

Aidilfitri tahun ini mungkin paling mencabar, kata Muhyiddin

Pengerusi PN berkata kenaikan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini sedikit-sebanyak menjejaskan persiapan hari raya.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan isteri Noorainee Abdul Rahman mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam.
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata sambutan Aidilfitri tahun ini mungkin paling mencabar bagi rakyat.

Katanya, dalam situasi kenaikan kos sara hidup yang berterusan sejak setahun lalu terutama harga bahan makanan, kos perkhidmatan, tarif elektrik dan beberapa jenis cukai lagi, persiapan raya sedikit-sebanyak sudah pasti terjejas.

“Saya amat memahami keadaan ini dan berdoa semoga saudara-saudari bersabar dan tabah menghadapi ujian ini,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri menyeru umat Islam tidak melupakan saudara mereka seperti di Palestin yang diuji dengan kesukaran hidup dan penindasan di negara sendiri.

“Marilah kita bersama-sama berdoa semoga pergolakan yang sedang berlaku akan segera berakhir dan mereka akan dapat kembali menikmati kehidupan sebenar, bebas merdeka dan tidak lagi ditindas,” katanya.

Dalam perutusan itu, Muhyiddin dan isteri  Noorainee Abdul Rahman turut mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam.

“Sempena Aidilfitri ini juga jangan kita lepaskan peluang untuk mengeratkan silaturahim dan kepada yang memandu sentiasa berhati-hati di jalan raya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.