7 ditahan kes bunuh di Teluk Intan

7 ditahan kes bunuh di Teluk Intan

Polis sedang siasat kes bunuh seorang lelaki berusia 32 tahun di sebuah taman perumahan dekat Langkap.

Enam lelaki dan seorang wanita ditahan dalam siasatan kes bunuh seorang lelaki dekat Langkap, Teluk Intan.
IPOH:
Polis menahan enam lelaki dan seorang wanita tempatan bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan seorang lelaki berusia 32 tahun di sebuah taman perumahan dekat Langkap, Teluk Intan pada 5 April lepas.

Ketua Polis Hilir Perak, Ahmad Adnan Basri, berkata semua individu berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun itu diberkas di beberapa lokasi berasingan sekitar Teluk Intan.

“Kita menerima panggilan telefon daripada seorang doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Teluk Intan pada 8.15 malam (5 April) memaklumkan seorang pesakit lelaki warga tempatan tidak sedarkan diri disebabkan luka di bahagian dada dan leher akibat terkena senjata tajam.

“Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup di hospital itu mendapati seorang lelaki memandu sebuah kereta jenis Proton Saga menghantar mangsa dan terus menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad berkata hasil soal siasat mendapati kejadian itu berpunca daripada tindakan mangsa yang mengganggu isteri kepada seorang daripada suspek.

Semua suspek direman tujuh hari bermula 6 hingga 12 April ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis sedang giat mengesan seorang lelaki warga tempatan yang juga merupakan suspek dalam kes berkenaan bagi melengkapkan siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.