
Siti Shahrima Abd Rahim, 37, yang bekerja sebagai pelayan sambilan di sebuah hotel di Johor Bahru, didenda selepas mengaku bersalah atas satu tuduhan bawah Akta Pendaftaran Pergigian, lapor Channel NewsAsia (CNA).
Siti Shahrima mempelajari cara melakukan prosedur pergigian menerusi video YouTube selepas sekatan pergerakan wabak Covid-19 menghalangnya mengunjungi doktor giginya. Dia memakai pendakap gigi ketika itu.
Dia kemudian mula mengiklankan perkhidmatan pergigian, seperti pemutihan venier, serta pemutihan gigi dan pendakap gigi, menjalankan prosedur-prosedur tersebut di bilik-bilik hotel di Singapura, dengan bayaran antara SGD650 dan SGD700.
Bagaimanapun, kegiatannya terbongkar selepas seorang pelanggannya yang tidak dapat memflos giginya selepas memasang venier melaporkan Siti Shahrima kepada pihak berkuasa.
Menurut pelanggan itu, Siti Shahrima pernah mendakwa dia seorang doktor gigi dari Malaysia yang pergi ke Singapura untuk menawarkan perkhidmatannya.
Dia menyediakan venier komposit kepada 20 pelanggan dan menyelenggara pendakap gigi 10 pelanggan lain. Dia juga menyediakan pendakap gigi kosmetik kepada sekurang-kurangnya seorang pelanggan.
Siti Shahrima melakukan prosedur-prosedur ini walaupun tidak berdaftar sebagai doktor gigi bawah Akta Pendaftaran Pergigian Singapura, selain tidak mempunyai sijil amalan yang sah.
Pendakwa Kementerian Kesihatan Singapura memohon agar Shahrima didenda kerana “prosedur” dilakukannya boleh menyebabkan kecederaan yang lebih serius.
Siti Shahrima kemudian membayar penuh denda yang dikenakan.