Polis rakam keterangan Chegubard berkait hantaran KK Chai menghadap Agong

Polis rakam keterangan Chegubard berkait hantaran KK Chai menghadap Agong

Badrul Hisham Shaharin mungkin disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard (dua dari kiri) sebelum masuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dirakam keterangan.
KUALA LUMPUR:
Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung hantaran di media sosial membabitkan pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersama Pengasas KK Supermart, Chai Kee Kan di Istana Negara.

Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard dalam sidang media sebelum dirakam percakapan berkata beliau mungkin disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saya hadir ke Bukit Aman kerana dipanggil polis berhubung hantaran saya pada 5 April yang membela imej raja raja Melayu daripada dirosakkan imejnya.

“Saya menulis dengan penuh sopan dan melontar pandangan betapa tidak kena dengan bahagian protokol membenarkan seseorang kena tuduh (di mahkamah) dalam kes menghina kalimah Allah dibenar mengadap,” katanya.

Badrul turut mendakwa siasatan terhadapnya adalah merupakan satu bentuk intimidasi dan menegaskan bahawa beliau juga tidak akan menyerahkan gajet miliknya serta bersedia ditahan.

Beliau kemudiannya masuk memberi keterangan pada 12.15 tengah hari tadi.

Kontroversi KK Mart bermula 13 Mac lalu apabila beberapa gambar stoking tertera kalimah Allah ditemui di cawangannya di Bandar Sunway tersebar di media sosial, sekali gus mencetuskan kemarahan orang Islam dan desakan boikot oleh Pemuda Umno.

Susulan siasatan polis, Pengasas KK Mart Chai Kee Kan dan isterinya Loh Siew Mui yang juga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain kerana menjual stoking itu.

Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Isu itu berlarutan apabila tiga cawangan KK Mart dibaling bom petrol iaitu di Bidor, Perak dan Kuantan, Pahang serta kejadian terbaru di Kuching, Sarawak.

Pada 3 April lalu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Chai di Istana Negara dan dalam pertemuan tersebut beliau memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam.

Sultan Ibrahim juga bertitah jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara itu, termasuk menghasut rakyat.

“Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah Agong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.