
Ketua Pemuda Umno Selangor itu berkata, selain bendahari, Zafrul yang juga ketua Umno Kota Raja mempunyai platform untuk menyuarakan segala pandangan.
“Setakat saya ada dalam mesyuarat, beliau tidak pernah bercakap tentang apa yang ditulis panjang-panjang di Facebook. Kena tanya Tengku Zafrul apa sebenarnya yang dia buat,” kata Imran kepada FMT.
Malah, katanya, Zafrul juga tidak menghadiri mesyuarat di bangunan Umno negeri semalam untuk menjelaskan maksud kritikan yang disampaikannya di media sosial sebelum ini.
Beliau berkata, jika Zafrul hadir pada mesyuarat tersebut, mungkin kritikannya itu boleh dijelaskan dan dibincangkan dengan kepimpinan parti dalam platform yang lebih teratur.
“Beliau tidak datang semalam. Kalau datang, mungkin berbezalah penerimaan, tanggapan, dapatan dan perbincangan dalam isu itu,” kata Imran.
“Saya harapkan Zafrul ada dalam mesyuarat semalam dan kita sama-sama boleh mendengar, mungkin beliau ada aspirasi, ada pandangan dan kaedah yang beliau lihat boleh bantu memberi nilai tambah dalam gerak kerja Umno Selangor.”
Kata Imran lagi, Zafrul perlu sedar, setiap cadangan yang diutarakan perlu dibawa ke mesyuarat untuk dihalusi, bukan sekadar menerusi hantaran di media sosial.
“Zafrul pun banyak pengalaman korporat sebagai menteri, beliau pun tahu bagaimana sistem pentadbiran beroperasi, menteri tak boleh suka-suka bagi cadangan kepada Jemaah Menteri di media sosial.
“Sama juga dalam parti politik, ada disiplin berparti, kita ada ruang bercakap, platform diberikan untuk beri pandangan dan pendapat,” katanya.
Zafrul sebelum ini mengkritik kepimpinan Umno Selangor yang menurutnya gagal berubah walaupun berdepan kekalahan demi kekalahan pada setiap pilihan raya.
Katanya, kekalahan teruk dalam pilihan raya sepatutnya menjadi amaran terakhir dan mencelikkan mata parti berkenaan untuk bangkit, namun sehingga kini belum melakukan sebarang perubahan.
Terdahulu, Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai bendahari Umno Selangor pada 1 April.
Katanya, beliau bertindak sedemikian untuk memberi laluan kepada individu yang boleh menyumbang lebih efektif kepada parti di negeri itu.