Meski hidup susah, 5 beranak syukuri rahmat Ramadan

Meski hidup susah, 5 beranak syukuri rahmat Ramadan

Kemiskinan tidak patut jadi penghalang menunaikan kewajipan agama, menurut Norizhar Maslan dan isterinya.

Seperti kebanyakan keluarga yang kais pagi makan pagi, keluarga Norizhar Mazlan dan Shida Nurahamad bersahur dengan nasi, telur dan sedikit ayam atau daging.
KUALA LUMPUR:
Setiap hari sebelum terbitnya fajar pada Ramadan, Norizhar Mazlan dan Shida Nurahamad mengejutkan anak-anak mereka untuk makan sahur bersama-sama.

Celik tidak celik daripada lena tidur, anak-anak pasangan itu bangun daripada tilam nipis yang diletakkan di atas lantai dan duduk bersila di sekeliling sebuah meja yang dibuat daripada sekeping papan berkakikan besen plastik.

Di rumah mereka yang serba kekurangan, ruang makan keluarga ini terletak hanya di hujung tempat tidur mereka.

Sahur mereka yang sederhana terdiri daripada nasi berlaukkan telur dadar dan saki baki ayam atau daging daripada juadah berbuka puasa diambil oleh Shida yang beratur setiap hari di Dapur Jalanan Pertiwi di Medan Tuanku. Cukuplah makanan ini untuk keluarganya sepanjang bulan puasa, katanya.

“Setiap Ramadan, juadah kami ketika berbuka puasa, itulah yang akan kami makan ketika sahur. Saya tak berapa masak bulan (Ramadan) ini. Kami hanya masak nasi dan panaskan lebihan lauk.

“Alhamdulillah, makanan kami sentiasa cukup,” kata Shida, 29.

Kemiskinan bandar tidak asing bagi keluarga ini, yang sebelum ini menetap di sebuah bilik kecil di rumah yang dikongsi di Chow Kit.

Oleh sebab bimbangkan keselamatan anak-anak mereka, tinggal di kawasan yang bersepah dengan jarum-jarum dibuang penagih dadah, mereka membuat keputusan untuk berpindah ke sebuah projek perumahan rakyat (PPR).

“Setiap hari, anak-anak akan main dengan jarum yang mereka jumpa di jalanan. Selepas digunakan untuk dadah, jarum-jarum ini hanya dibuang begitu sahaja. Anak-anak kami mula bertanya (tentang keadaan itu).

“Disebabkan kami semua tinggal di dalam satu bilik, mereka tak boleh main di dalam, terpaksa main di jalanan. Itulah sebabnya kami buat keputusan untuk pindah,” katanya.

Walaupun peralihan ini tidak berjalan lancar, mereka berjaya mencari cara menampung sewa kediaman baharu mereka. Shida bekerja separuh masa sebagai tukang cuci, sementara Norizhar, 38, bekerja di ladang terung bawah program pertanian bandar Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Inisiatif pertanian bandar bawah MAIWP menjadi talian hayat bagi Norizhar Mazlan dan keluarganya, menawarkan jalan keluar daripada kemiskinan.

Inisiatif ini bukan sahaja menyokong golongan yang layak menerima zakat tetapi juga melengkapkan Norizhar dengan kemahiran pertanian dan keusahawanan yang bernilai.

“Puasa ini kewajipan orang Islam. Ia bukan sahaja (diamalkan) untuk merasa simpati terhadap orang miskin, malah ia mengajar kita bersyukur dan mengukuhkan hubungan kita dengan orang lain, terutamanya ketika solat tarawih,” kata Norizhar.

Pada Ramadan, Norizhar keluar bekerja pada 9 pagi, sebelum pulang sekitar 3 petang. Dengan setiap tuaian yang berjaya, beliau berharap MAIWP dapat memberikannya sebidang tanah.

“Memanglah kami susah, kami miskin, tetapi itu tidak bermaksud (keadaan kami) akan menjejaskan kewajipan harian seperti solat dan kerja. Sudah jadi tanggungjawab saya sebagai orang Islam untuk solat dan menanggung anak isteri.

“Gaji saya cuma RM1,500, dan saya kerja setiap hari kerana bagi saya, jadi kewajipan saya untuk tanggung mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.