Bantu rakyat bukan ‘manifesto’ tapi ‘darah daging’ Umno, kata pemimpin akar umbi

Bantu rakyat bukan ‘manifesto’ tapi ‘darah daging’ Umno, kata pemimpin akar umbi

Pemimpin bawahan Umno berkata mereka tidak pernah abai perjuangan jamin kesejahteraan rakyat.

Pemimpin dan ahli Umno kerap turun padang menghulurkan bantuan terutama pada musim perayaan atau musibah seperti ketika penularan Covid-19. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemimpin akar umbi Umno berkata khidmat bakti kepada rakyat sudah menjadi sebahagian “darah daging” menyebabkan parti itu tidak boleh “berpisah” dengan masyarakat.

Ketua Umno Ampang Mohamad Nadzim Ibrahim berkata parti itu dalam apa jua keadaan sekali pun, sentiasa turun padang menyantuni pengundi tanpa mengira musim, berbanding ada lawan yang menabur “janji palsu pilihan raya”.

“Umno dalam keadaan apa sekali pun, khidmat nak membantu dah memang ada dalam jiwa sanubari, tak boleh nak dielakkan.

“Jadi membantu rakyat ini bukan saja sebahagian daripada manifesto tetapi dah jadi darah daging,” katanya kepada FMT, mengulas kenyataan Naib Presiden Johari Ghani bahawa Umno tidak pernah mengabaikan perjuangan untuk menjamin kesejahteraan rakyat biarpun hanya menang 26 kerusi Parlimen pada PRU15.

Johari dilaporkan Berita Harian pada 30 Mac lalu berkata: “Masyarakat Melayu tidak boleh lari daripada Umno, kadang-kadang saya terfikir, orang Melayu dengan Umno tak boleh dipisahkan.

“Kalahlah Umno macam mana pun, tetapi tetap terus aktif membela kebajikan masyarakat. Kita berjuang dalam Umno bukan semata-mata untuk jawatan,” katanya yang juga menteri perladangan dan komoditi.

Bersetuju dengan kenyataan itu, Nadzim mengambil contoh kedudukan Umno di Parlimen Ampang yang kalah sejak 2008, tetapi tidak jemu “mengetuk pintu” rumah penduduknya untuk mengedar “bakul makanan”, yang amat sinonim dengan parti itu.

“Membantu rakyat bukan saja khidmat parti tetapi dah sebati dalam jiwa sanubari setiap ahli Umno yang dilatih dari awal.

“Bila seseorang menjiwai perjuangan Umno, tanpa jawatan pun dia akan ikhlas membantu rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Libaran Suhaimi Nasir berkata majoriti rakyat meluahkan rasa “rindu” terhadap pelbagai bantuan terutama ketika perayaan disalurkan Umno dan Barisan Nasional (BN) ketika memerintah Putrajaya secara bersendirian.

“Macam kawasan saya kita jelajah dari zon 1 sampai zon 6, semua sambutan meriah mereka (rakyat) kata Umno aktif buat kerja.

“Mereka rindu zaman kerajaan Umno, BN seperti 10 tahun dahulu,” kongsinya.

Sejak Umno yang menunjangi pentadbiran BN di Putrajaya tumbang pada PRU 2018, pengaruhnya terus merosot apabila hanya menang 26 kerusi Parlimen pada PRU 2022, dan terbaharu pada PRN Ogos tahun lalu, Umno hanya menang 19 DUN di Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, serta Terengganu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.