
Hasan berkata, tawaran itu dibuat memandangkan beliau sendiri berpengalaman dituduh, disiasat, dan dibicarakan mengikut akta itu.
“Maka, saya dengan suci hati dan ikhlas menawarkan diri jika Akmal, ketua Pemuda Umno sudi dan bersetuju untuk menerima tawaran ikhlas saya sebagai salah seorang peguambela dalam pasukan guaman jika sekiranya beliau pada akhirnya tetap akan dituduh di bawah Akta Hasutan 1948,” katanya dalam kenyataan.
Hassan berkata, walaupun ada pihak tidak bersetuju cara Akmal berhubung isu stoking tertera kalimah Allah dan gesaan boikot KK Mart, hak Akmal bersuara dijamin Perlembagaan.
“Kita mungkin tidak setuju atau tidak sependapat dengan pandangan-pandangan dikemukakan Akmal, tetapi hak beliau bersuara dan menyatakan pendiriannya dalam soal stoking yang dikaitkan dengan kalimah Allah dilindungi di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan bahawa tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata Akmal ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Hasutan dan Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Akmal yang juga exco kerajaan Melaka itu ditahan sepasukan polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kota Kinabalu, Sabah semalam, susulan dua laporan polis terhadapnya berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.
Hassan sebaliknya berkata, Akmal boleh disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang menurutnya lebih adil dan berpatutan.
Sebelum ini, Akmal mengecam tindakan membaling bom petrol ke atas cawangan KK Mart, Kuantan, pada 30 Mac – insiden kedua selepas insiden pertama di kedai serbaneka itu di Bidor, Perak, 25 Mac. Insiden ketiga pula berlaku di KK Mart, Kuching, bertempat di Jalan Satok, pada 31 Mac.
Akmal berharap mana-mana pihak menyertai kempen boikot KK Mart agar melakukannya secara matang tanpa sebarang keganasan.