Memeluk Islam, mendakap budaya turun-temurun; Aarthi insan gembira

Memeluk Islam, mendakap budaya turun-temurun; Aarthi insan gembira

Komitmen Aarthi Edward dan Amir Omar memelihara identiti budaya masing-masing diwariskan kepada anak-anak mereka.

Aarthi dan Amir gembira mendakap budaya masing-masing. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)
PETALING JAYA:
Hampir tiba masa untuk berbuka. Aarthi Edward dan suaminya, Amir Omar, bersiap-siap menghidangkan juadah untuk santapan keluarga.

“Kami sentiasa buka puasa bersama,” kata Aarthi, 34, seorang ibu kepada dua orang perempuan.

Menu Ramadan di rumah Aarthi kali ini kurma dan kuih-muih, ikan masin dan kari ayam, dan satu jag air mata kucing.

Namun apa yang paling disyukuri Aarthi ialah nikmat dapat bersama insan tersayang.

“Ia sesuatu yang cukup dinantikan,” kata doktor ini kepada FMT Lifestyle. “Seronok bila semua orang makan bersama.”

Dibesarkan sebagai Hindu dan kemudian memeluk Islam, Aarthi juga bersyukur kerana semua insan tersayang berada di sampingnya, seperti bonda dan mentuanya.

Pasangan ini berkahwin pada 2019, dengan salah satu majlis keraian bertema budaya masyarakat India Malaysia. (Gambar Aarthi Edward)

Mengimbau perjalanann memeluk Islam, wanita ini akui pada mulanya beliau sedikit gementar kerana perlu belajar tentang Islam dan budaya baharu.

“Namun saya ada ‘sistem sokongan’ yang terbaik, jadi mudah untuk saya belajar dan mengharunginya.”

Di sebalik itu, Aarthi mengekalkan identiti budayanya, iaitu seorang India Malaysia.

“Saya masih saya. Semua orang mengenali saya sebagai Aarthi Edward. Tiada apa yang berubah,” katanya.

Aarthi dan keluarga berdoa sebelum berbuka puasa. (Gambar Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Persamaan antara budaya India dan Melayu memudahkan beliau menyesuaikan diri, malah bertambah seronok pula apabila meraikan kedua-dua budaya India dan Melayu.

“Sambutan dan perayaan menjadi semakin meriah,” katanya. “Keseronokan menjadi sebahagian keluarga besar yang menerima, dan sedia berkongsi pengalaman bersama saya itulah terpenting.”

Hubungan Aarthi dan Amir memutik pada 2017. Temu janji pertama di sebuah restoran makanan Jepun memekarkan perasaan.

“Saat yang menyeronokkan. Saya masih ingat lagi awak berpeluh-peluh,” kata Amir, 34, disusuli tawa Aarthi.

Aarthi memeluk Islam sambil disaksikan ahli keluarga di Kompleks Majlis Agama Islam Selangor, Klang. (Gambar Aarthi Edward)

Amir dari awal lagi berterus-terang hanya akan berkahwin dengan Muslim, atau seseorang yang sanggup memeluk Islam.

Ketika itu, Aarthi yang dibesarkan dalam persekitaran yang menghormati semua agama tidak terkejut dengan pendirian bakal suaminya itu. “Saya sentiasa berfikiran terbuka tentang semua kepercayaan,” jelasnya.

Lagipun, Islam bukan sesuatu yang asing bagi wanita ini, yang membesar berdekatan masjid dan bersama pembantu rumah beragama Islam dari Indonesia.

Justeru ia mendorong Aarthi mempertimbangkan Islam, yang akhirnya membawa kepada beliau melafazkan syahadah dengan keyakinan.

Ibunya menyokong penuh keputusan beliau, “berbanding pasangan lain yang pernah ditemuinya.”

Aarthi mengibaratkan perjalanannya menjadi seorang Muslim, dengan sokongan Amir dan ahli keluarga, sebagai perjalanan mengenal diri dan mencambah rohani.

Aarthi dan Amir mahu anak-anak mereka menghormati budaya. (Gambar Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

“Mentua saya memainkan peranan cukup penting. Mereka sangat menyokong sejak mula,” katanya.

Beliau teringat ibu mentua dan kakak ipar sentiasa mengikuti perkembangannya. “Keluarga Amir amat menyayangi saya.”

Amir mencelah: “Saya bersyukur ibu bapa saya memahami. Mereka jawab apa jua pertanyaan Aarthi dan menjelaskan segalanya.”

Mengimbau detik awal memeluk Islam, ketika beliau bertugas di sebuah hospital di Ipoh, Aarthi berkata ikatannya dengan Amir mendalam apabila bersolat seiring menerusi panggilan video.

Hari ini, hampir lima tahun mengikat perkahwinan, komitmen Aarthi dan Amir memelihara identiti budaya masing-masing diwariskan kepada anak-anak, yang dididik supaya menghargai budaya orang India dan Melayu.

“Ibu saya ajar anak sulung kami bahasa Tamil,” kata Aarthi. “Dia sudah pandai sebut beberapa perkataan dan saya menghargai perkara ini.”

Menelusuri cabaran perkahwinan campur, Aarthi dan Amir tekad cinta merentasi perbezaan.

“Kita jangan takut pada perubahan,” kata Amir. “Selagi mana semua orang dapat menerima, tiada isu.”

“Tidak banyak yang berubah sebenarnya,” celah Aarthi. “Saya melihat ia sesuatu yang baharu datang dalam kehidupan saya. Saya fikir ia banyak mengubah perspektif saya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.