Solidariti Palestin, 500 berarak ke Kedutaan AS

Solidariti Palestin, 500 berarak ke Kedutaan AS

Antara menyertai himpunan itu adalah Presiden Amanah Mohamad Sabu, Ketua Penerangan Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali dan Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) Tian Chua.

Peserta berarak membawa plakad serta bendera Palestin selain melaungkan ‘Free Palestin’, ‘Hancur Zionis’ dan ‘Jahanam Amerika Syarikat’.
KUALA LUMPUR:
Kira-kira 500 menyertai Himpunan Hari Antarabangsa Al-Quds hari ini sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Himpunan bermula dengan peserta berkumpul di Menara Tabung Haji selepas solat Jumaat kira-kira 2 petang disusuli perarakan ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi menyerahkan memorandum.

Antara yang menyertai himpunan itu adalah Presiden Amanah Mohamad Sabu, Ketua Penerangan Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali, dan jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) Tian Chua.

Peserta berarak membawa plakad serta bendera Palestin selain melaungkan “Free Palestin”, “Hancur Zionis” dan “Jahanam Amerika Syarikat” sambil diiringi paluan gendang.

Dalam ucapan, Rafique menggesa rakyat terus memboikot barangan Israel.

“Jangan perlekeh Malaysia. Akan boikot segala produk sokong Israel.

“Malaysia perlu terus menerangkan rakyat dan membawa Israel dan Amerika Syarikat ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” katanya.

Mohamad pula menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dibubarkan kerana dilihat tidak mempunyai fungsi.

Katanya, ini kerana Israel tidak mengendahkan arahan gencatan senjata terhadap Palestin.

“Ingat isu Palestin isu kemanusiaan dan tidak kira agama atau kaum. Kalau Israel tak dihukum, PBB tidak berguna dan perlu bubar sahaja,” katanya.

Sementara itu, Tian Chua meminta rakyat terus bersatu dan tidak berhenti berjuang untuk pembebasan Palestin.

“Harus tegas perjuangan ini bukan umat Islam sahaja tetapi untuk membela kemanusiaan,” katanya.

Dalam pada itu, SSP dikatakan sepakat menamakan Jalan Tun Razak sebagai ‘Jalan Al-Aqsa’, menurut Pengerusi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Azmi berkata pihaknya mahu mengabadikan tunjuk perasaan hari ini dengan menamakan semula jalan tersebut.

“Kami tidak kisah kalau ia tidak diiktiraf oleh kerajaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atau sesiapa pun,” katanya.

Jalan tersebut, yang dinamakan sempena Perdana Menteri Abdul Razak Hussein, melewati pintu utama Kedutaan AS.

Kedutaan itu juga terletak di antara Jalan U Thant dan Jalan Taman U Thant, yang dinamakan sempena bekas setiausaha agung PBB dari Myanmar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.