Rayuan Indira mula prosiding hina mahkamah ditolak

Rayuan Indira mula prosiding hina mahkamah ditolak

Mahkamah Rayuan berkata, ia terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2016 enggan memaksa ketua polis negara mengembalikan Prasana Diksa.

Permohonan M Indira Gandhi untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap ketua polis negara ditolak kerana bercanggah perintah hak penjagaan dikeluarkan mahkamah sivil dan syariah. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menolak permohonan guru tadika, M Indira Gandhi untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap ketua polis negara atas dakwaan gagal mencari dan mengembalikan anak perempuannya.

Hakim Azizah Nawawi, yang mengetuai panel tiga hakim berpendapat, mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2016 yang menolak perintah untuk KPN mengembalikan Prasana Diksa.

Katanya, mahkamah tertinggi itu enggan membenarkan perintah mengembalikan Prasana kerana terdapat perintah bercanggah dikeluarkan mahkamah sivil dan syariah berhubung hak penjagaan Prasana.

Mahkamah sivil memberikan hak penjagaan Prasana dan dua lagi anaknya, Tevi Darshiny serta Karan Dinesh, kepada Indira, manakala Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah memihak kepada bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah.

Riduan melarikan Prasana daripada Indira pada 31 Mac 2009. Dia juga mengislamkan tiga anaknya. Bagaimanapun, satu lagi panel mahkamah tertinggi membatalkan penukaran agama mereka.

“Mahkamah Persekutuan memutuskan Mahkamah Tinggi tidak patut mengeluarkan perintah mengembalikan anak kepada Indira, dan ketua polis negara boleh dimaafkan kerana tidak mengambil tindakan (untuk mencari Prasana).

“Kami (Mahkamah Rayuan) terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan. Memandangkan permohonan memulakan penghinaan mahkamah berdasarkan perintah pengembalian yang tersilap diberikan, dia (Indira) tiada asas untuk mendapat kebenaran (memulakan prosiding penghinaan).”

Panel itu turut dianggotai Hakim Che Ruzima Ghazali dan Hashim Hamzah.

Mahkamah memerintahkan Indira membayar kos RM10,000 kepada kerajaan.

Indira diwakili peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh, manakala Peguam Kanan Persekutuan Mankiranjit Kaur mewakili kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.