Majlis antara agama tersasar kritik cadangan pindaan Akta 355, kata PAS

Majlis antara agama tersasar kritik cadangan pindaan Akta 355, kata PAS

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, MCCBCHST tidak menunjukkan bukti bagaimana cadangan pindaan itu akan memberi kesan kepada golongan bukan Islam.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mempersoalkan dakwaan majlis antara agama bahawa cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah tidak berperlembagaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PAS mempersoalkan motif di sebalik kenyataan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) berhubung cadangan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, MCCBCHST tidak menunjukkan bukti bagaimana cadangan pindaan itu akan memberi kesan kepada golongan bukan Islam.

“Apakah MCCBCHST mahu berperanan sebagai penyibuk atau ‘hantu orang tengah’ sebagaimana yang pernah dinyatakan dalam beberapa penghakiman di Mahkamah Persekutuan sebelum ini berkaitan isu sama kerana perbuatan sedemikian hanya akan menimbulkan kecurigaan mendalam terhadap niat dan motif sebenar majlis itu sendiri?

“Mahu tidak mahu, sekali lagi motif dan agenda sebenar majlis berkenaan terus menjadi persoalan, sekali gus berpotensi menimbulkan suasana tidak harmoni dalam konteks hubungan antara kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan MCCBCHST pada Selasa lalu yang menyifatkan cadangan pindaan terhadap Akta 355 “tidak berperlembagaan”.

MCCBHST berkata, meningkatkan bidang kuasa hukuman bagi Mahkamah Syariah akan membolehkan kesalahan berkaitan hudud seperti mencuri, merompak, zina, liwat dan mabuk, diadili di bawah undang-undang jenayah Islam.

Kumpulan itu mendakwa kesalahan terbabit sudah termaktub dalam Senarai I (Senarai Persekutuan) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, yang akan menjadikan “kuasa tambahan” itu tidak berperlembagaan.

Takiyuddin turut mengkritik tindakan MCCBCHST membuat bantahan pada Ramadan sebagai tidak peka dan berpotensi mengganggu kewajipan agama umat Islam.

“Bagi PAS, ini bukan sahaja tindakan keterlaluan dan provokatif, tetapi boleh dilihat sebagai perbuatan mencetuskan permusuhan dan tidak boleh diterima sama sekali dalam negara yang menjunjung cita-cita kerukunan dan perpaduan rakyatnya.

“PAS menegaskan cadangan pindaan Akta 355 tidak bertentangan mana-mana peruntukan atau struktur asas Perlembagaan Persekutuan dan sah serta berperlembagaan.”

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, MCCBCHST sebagai majlis antara agama tidak patut mencampuri atau dilihat cuba mencampuri hal ehwal Islam.

“Perlu juga diingat bahawa hak dan kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan bagi agama di Malaysia turut meliputi agama Islam dan perlu dipatuhi serta dihormati semua pihak dan golongan.”

Beliau menggesa Putrajaya segera memberi maklum balas terhadap kenyataan MCCBCHST dan tindakan sewajarnya diambil terhadap kumpulan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.