
Peguam bela Najib Razak, Shafee Abdullah, yang memeriksa balas Loo, memberitahu mahkamah maklumat itu daripada timbalan ketua polis negara yang mana beliau tidak dedahkan namanya.
Loo tidak mempertikaikan jumlah dinyatakan Shafee.
Saksi pendakwaan ke-50 itu berkata wang terbabit masuk ke akaunnya antara 2011 dan 2014, tetapi sebahagian besarnya dimasukkan pada 2014.
Shafee: Mengapa dia beri anda RM100 juta untuk seseorang yang telah bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada 1MDB?
Loo: Saya memegang wang itu atas amanah.
Shafee: Adakah anda akhirnya menjadi benefisiari?
Loo: Ya, ia adalah hadiah.
Loo memberitahu mahkamah, dia meninggalkan 1MDB selepas berkhidmat dengan syarikat berkaitan kerajaan itu selama dua tahun setengah pada November 2013 kerana mahu mengejar peluang lain “seperti melakukan pelaburan”.
Katanya, dia membayar kira-kira RM2.5 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) daripada RM100 juta itu.
Menurutnya, dia juga tidak berunding dengan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk pulang dengan selamat, tetapi peguamnya sedang berbincang dengan bekas peguam negara Idrus Harun sebelum kembali ke tanah air Julai lalu.
“Saya mahukan laluan selamat dari Myanmar dan tidak mahu Kedutaan Malaysia di negara itu terlibat,” katanya.
Loo berkata, dia berharap pertuduhan jenayah terhadapnya akan digugurkan kerana memulangkan semua aset dibeli daripada wang 1MDB.
Diberi pasport Myanmar palsu
Terdahulu, Loo memberitahu mahkamah dia memasuki Myanmar secara haram dari Bangkok pada 2019 walaupun membawa pasport Malaysia.
“Saya diberitahu oleh Low bahawa pasport saya akan dicop oleh tentera Myanmar, tetapi ia tidak dilakukan. Saya telah ditangkap oleh tentera dan ditahan di sebuah rumah,” katanya.
Katanya, dengan bantuan Low dia diberi pasport Myanmar palsu untuk bergerak bebas di negara itu.
Pada ketika itu, Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa Kunyalam membantah kerana dia berkata ia tidak relevan dengan pertuduhan dihadapi Najib.
Bagaimanapun, Hakim Collin Lawrence Sequerah menolaknya kerana berkata pihak pembelaan hanya cuba memusnahkan kredibiliti Loo.
Bagi soalan lain dikemukakan Shafee, Loo berkata dia tidak tahu sama ada Low rapat dengan Tawfiq Ayman, suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz.
Sequerah mencelah dan meminta Shafee meneruskannya kerana Loo sudah berkata dia tidak mengetahui hubungan Tawfiq dengan ahli perniagaan dalam buruan itu.
Najib menghadapi 25 pertuduhan kerana salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan bersambung 22 April.