‘Call centre’ tawar pulangan hingga 100%, 40 dicekup

‘Call centre’ tawar pulangan hingga 100%, 40 dicekup

Polis berkata modus operandi sasar mangsa dari luar negara menggunakan platform Facebook, Instagram, dan YouTube.

Ketua Polis Johor M Kumar, berkata sindiket menggunakan syarikat tempatan berdaftar bertujuan mengaburi pihak berkuasa. (Gambar Freepik)
JOHOR BAHRU:
Polis Johor menahan 40 individu dipercayai terbabit sindiket menawarkan pelaburan tidak wujud setelah menyerbu sebuah premis perniagaan yang dijadikan sebagai ‘call centre’ atau pusat panggilan di sini, semalam.

Ketua Polis Johor M Kumar, berkata seramai 15 lelaki dan 25 wanita tempatan berusia antara 22 hingga 50 tahun ditahan dalam serbuan 11.10 pagi itu dijalankan bersama polis kontinjen Johor dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyasarkan mangsa dari luar negara. Mereka menawarkan pelaburan ‘XTrade’ melalui pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram, dan YouTube.

“Pelanggan dijanjikan pulangan lumayan antara 50 hingga 100% daripada jumlah wang yang dilaburkan,” katanya dalam kenyataan.

Kumar berkata, pihaknya turut merampas peralatan yang digunakan dalam aktiviti tersebut antaranya 41 set komputer, 46 telefon bimbit, satu unit modem, dan satu unit router.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan syarikat tempatan berdaftar untuk beroperasi sekali gus mengaburi pihak berkuasa,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.