
Buat kali kedua dalam tempoh seminggu, FMT dan seorang dermawan yang tidak didedahkan namanya bermurah hati bersama-sama menyumbang RM50,000 untuk membawa kemeriahan Aidilfitri kepada bekas jaguh negara, termasuk atlet para.
Penerima yang terdiri daripada ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menerima RM1,000 setiap seorang untuk membantu meringankan beban bergelut dengan masalah kesihatan, kewangan dan tiada sumber pendapatan.
Minggu lepas, 50 ahli Persatuan Karyawan Malaysia turut menerima RM1,000 setiap seorang pada sebuah majlis Ramadan di Kuala Lumpur.

Pada satu majlis semalam, Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyempurnakan penyampaian sumbangan berkenaan.
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah turut mencemar duli menghadiri majlis Ramadan di Hotel Concorde Kuala Lumpur itu yang dihadiri kira-kira 150 jemputan.

Antara hadirin lain termasuk Pengarah Urusan Universal Fitness & Leisure (UFL) V Radhakrishnan, sebagai penganjur majlis itu, Pesuruhjaya Sukan Suhardi Alias, Pengerusi Yakeb Noorul Ariffin Abdul Majeed dan beberapa legenda sukan yang lain.
Dermawan yang tidak didedahkan namanya itu berkata, sumbangannya bertujuan memupuk semangat empati, perasaan kasih sayang dan saling berkongsi.

Beliau menggesa sektor korporat turut memberi sokongan dari segi kewangan kepada ikon sukan dan hiburan yang hidup dalam kesusahan.
Tambahnya, rakyat perlu menghargai sumbangan ikon sukan dan hiburan pada masa lalu yang menyatukan kita.
Sukan jiwa FMT
Pengarah Urusan FMT Azeem Abu Bakar, berkata: “Di FMT, usaha menyokong komuniti sukan ialah tugas istimewa yang kami pentingkan, mencerminkan kedudukan istimewa sukan dalam semangat Malaysia.”
Menurutnya, perjalanan FMT bermula dengan penuh cabaran sebelum menjadi antara organisasi media terunggul di negara ini.
“Kejayaan memperoleh lebih enam juta pembaca sebulan, dengan lebih 33% ‘share of voice’ dalam talian, kami berbesar hati dengan kepercayaan serta sokongan diberikan pembaca.
“Kepercayaan ini dan pengaruh platform FMT mengingatkan kami tentang tanggungjawab untuk menyumbang secara positif kepada masyarakat, termasuk dalam arena sukan.
“Kami berhasrat mengetengahkan kisah sukan Malaysia, terutamanya membabitkan legenda digeruni.

“Laporan-laporan (FMT) tentang personaliti sukan dihayati dengan mendalam oleh pembaca, menarik jutaan bacaan dan menyerlahkan minat tinggi masyarakat terhadap evolusi sukan negara.”
Azeem berkata, FMT pada Disember lepas memainkan peranan penting dalam acara “Sports Flame” yang meraikan kecemerlangan sukan Malaysia pada masa lalu, dan menyatukan atlet hebat dari zaman 1960-an, 1970-an dan awal 1980-an.
“Tahun ini, kami bersyukur diberikan peluang untuk terus meluaskan sokongan terhadap kebajikan mereka, dengan sumbangan untuk sambutan Aidilfitri yang disempurnakan atas kemurahan hati seorang dermawan.”
Menurutnya, tanggungjawab memartabatkan seni dan sukan bukan terletak pada FMT semata-mata, dan media lain perlu turut membantu usaha memastikan perkembangan dan kemampanan kedua-dua industri.
Inisiatif mulia jadi teladan
Noorul Ariffin berkata, beliau teruja dengan inisiatif sosial FMT yang memberi kegembiraan, harapan, inspirasi dan semangat kebangsaan.
Katanya, FMT berada di barisan depan dalam usaha kutipan dana untuk bekas atlet berdepan kesulitan, selain sering melaporkan kisah atlet yang mengharumkan nama negara.

Beliau mengimbau tindakan pantas FMT membantu meringankan beban keluarga legenda golf, M Ramayah dan bekas pemain skuasy negara, Kenneth Low melalui kutipan dana lebih RM200,000 untuk setiap seorang.
Ramayah, pemain golf Piala Dunia sebanyak 13 kali yang juga jurulatih golf terkemuka, meninggal dunia pada Mac tahun lepas akibat kanser.
Low, juara kebangsaan enam kali, pula menghidap “multiple sclerosis” yang menjejaskan sistem saraf pusatnya.
Noorul Ariffin berkata, 26 penerima menghadiri majlis semalam, manakala selebihnya akan menerima sumbangan menerusi akaun bank, di mana semuanya sama ada menghidap pelbagai penyakit, tiada pendapatan tetap atau menganggur.
Suhardi berkata, majlis itu platform terbaik untuk mengiktiraf dan memahami kehidupan serta kesulitan atlet negara.
“Saya yakin majlis ini akan menggalakkan atlet untuk terus mencapai kecemerlangan kerana tahu mereka mendapat sokongan insan yang mengambil berat,” katanya sambil berterima kasih kepada pihak yang menjayakan majlis itu.
Sementara itu, Radhakrishnan berkata, kehadiran bekas Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menunjukkan keprihatinan mereka terhadap wira sukan serta menjadikan majlis itu lebih bermakna.
Bekas atlet itu berterima kasih kepada FMT kerana memberinya peluang menganjurkan majlis itu.
“Ia penghormatan besar bagi saya untuk menyumbang kepada industri yang meletakkan saya dan syarikat di tahap ini,” katanya sambil menambah syarikatnya mempunyai 60 kakitangan yang kebanyakannya bekas atlet negara dan negeri.
Malek Noor, yang menyertai UFL sebagai eksekutif pemasaran dan kini pengerusi syarikat itu, sudah berkhidmat selama 33 tahun.
“Saya berharap akan ada lebih banyak acara sebegini untuk menghargai atlet.”