AGC tunggu rekod mahkamah sebelum putus rayuan kes bunuh T Nhaveen

AGC tunggu rekod mahkamah sebelum putus rayuan kes bunuh T Nhaveen

Notis rayuan sudah diserahkan kepada lima lelaki yang dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh T Nhaveen melalui peguam mereka.

Arun Dorasamy (bersut biru) dan Shanti Dorairaj (berbaju merah) bersama 70 orang berkumpul di luar pejabat Jabatan Peguam Negara hari ini.
PUTRAJAYA:
Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang menunggu rekod rayuan sebelum memutuskan sama ada akan meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan lima lelaki daripada tuduhan membunuh T Nhaveen, kata aktivis Arun Dorasamy.

Sebaik saja AGC menerima rekod itu daripada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Arun berkata, ia akan mengambil kira-kira 10 hingga 12 hari sebelum keputusan dibuat.

“Saya diberitahu selepas menerima rekod rayuan, mereka akan menilai sama ada meneruskan (rayuan) atau tidak.

“Tetapi, saya diberikan jaminan mereka akan melakukan yang terbaik untuk meneruskan (rayuan itu),” katanya selepas menemui jurucakap AGC di sini.

Kira-kira 70 orang berkumpul di luar pejabat AGC, di mana Shanti Dorairaj, ibu Nhaveen menuntut perkembangan terkini daripada AGC.

Pada 13 Okt 2023, AGC mengesahkan ia memfailkan notis rayuan atas pembebasan lima lelaki itu.

Lima lelaki, termasuk dua juvana ketika mereka didakwa, dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh Nhaveen oleh Mahkamah Tinggi George Town pada awal bulan sama.

S Gopinaath, 30, J Ragesuthan, 22, S Gokulan, 22, bersama dua remaja didakwa sebagai juvana, berdepan tuduhan membunuh Nhaveen, 18, di sebuah taman di Jalan Bunga Raya antara 11 malam dan tengah malam 9 Jun 2017.

Peguam Rajesh Nagarajan berkata, notis rayuan diserahkan kepada lima lelaki itu melalui peguam mereka, tetapi beliau tidak berpuas hati dengan tindakan AGC.

“Ibu Nhaveen sudah lama ingin tahu perkembangan terkini, tetapi tiada respons.

“Saya menulis tujuh surat meminta maklumat terkini daripada peguam pemerhati kepada AGC, tetapi tiada respons diberikan,” katanya sambil menambah himpunan hari ini tidak perlu diadakan jika AGC memberikan respons.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.