
Johari berkata, program julung kali diadakan itu bagi menghargai golongan penunggang p-panggilan pelbagai syarikat.
“Selalunya, kita tengok mereka ini tertinggal, jadi kita mencari mana-mana penunggang p-panggilan di Titiwangsa ini dan panggil mereka hari ini.
“Ini juga salah satu program tambahan kepada bantuan raya yang dibuat di seluruh kawasan Parlimen Titiwangsa,” katanya menurut Harian Metro.
Johari menyerahkan sendiri sumbangan duit raya, biskut, minyak masak serta kordial kepada 500 penunggang motosikal di depan Pejabat Umno Bahagian Titiwangsa, Desa Pandan pagi tadi.
Noraina Nadirah Mad Azahar, 28, berterima kasih kepada Johari kerana tidak meminggirkan penunggang p-panggilan.
“Saya bersyukur dengan sumbangan ini dapat jimat perbelanjaan saya dan suami dalam menyediakan kelengkapan raya. Kami tak perlu beli biskut raya dan duit raya diterima bolehlah beli baju raya untuk dua anak kami berusia tiga dan lima tahun.”
Zaini Mohamad, 39, dari projek perumahan rakyat Jelatek berkata, beliau mendapat tahu program itu menerusi kakaknya sebelum membuat pendaftaran dalam talian.
“Saya anggap ini rezeki menyambut raya, dapatlah berjimat membeli keperluan raya.
“Selepas selesai pemberian bantuan ini, saya terus buka aplikasi untuk ambil tempahan kerana hanya saya bekerja seorang diri memandangkan isteri tidak dapat bekerja atas masalah kesihatan.”