
Ahmad Kamal Akbar Rahim @ Abd Rahim, 54, membuat pengakuan itu selepas semua tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.
Mengikut ketujuh-tujuh tuduhan, Ahmad Kamal Akbar didakwa menipu Ibrahim Romli, 53, untuk mempercayai beliau akan mendapat keuntungan atas pelaburan projek perumahan yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan cek RM580,000 menerusi beberapa transaksi. Kesemua kesalahan didakwa dilakukan antara 8 hingga 24 Sept 2018 di Kompleks Perniagaan Tasek Gelugor.
Kesemua tuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Asma’ ‘Amira Shahidani kemudian memohon tertuduh dikenakan jaminan RM10,000 bagi setiap tuduhan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ima Syakira Mohd Salim yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dikenakan atas alasan anak guamnya berstatus bankrap.
Tambahnya, anak guamnya juga tidak mempunyai pendapatan tetap serta perlu menanggung isteri dan 10 anak.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM56,000 dan menetapkan 26 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.