
Tetapi, Azizi yang juga antara enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan perpaduan, berkata beliau akan terus menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
“Tahniah kepada Bersatu kerana atas kejayaan mendapat kelulusan JPPM dalam masa singkat. Tetapi, saya kekal konsisten untuk menyokong kerajaan Madani pimpinan Anwar,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, kelulusan pantas JPPM itu membuktikan tiada campur tangan politik daripada kerajaan dalam hal ehwal agensi persekutuannya.
Semalam, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengesahkan JPPM sudah meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berkuat kuasa 1 April lalu.
Keputusan Bersatu meminda perlembagaannya menyusul tindakan enam Ahli Parlimennya mengisytiharkan sokongan kepada Anwar tanpa keluar parti, membolehkan mereka memintas peruntukan bawah Perlembagaan Persekutuan yang mengkehendaki mereka mengosongkan kerusi disandang.
Ahli Parlimen lain yang menyokong Anwar ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Semua Ahli Parlimen itu memberi alasan sokongan mereka kepada kerajaan persekutuan disebabkan keperluan kawasan Parlimen dan mereka akan terus setia kepada Bersatu.
Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari daripada Bersatu turut mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Ahli Parlimen Labuan Suhaili dilaporkan berkata, beliau tidak perlu mengosongkan kerusinya kerana pindaan itu hanya berkuat kuasa 1 April lalu, sedangkan beliau dan lima Ahli Parlimen lain mengisytiharkan sokongan kepada Anwar antara Oktober dan Januari lalu.