Suami isteri didakwa tinggal anak dalam kereta

Suami isteri didakwa tinggal anak dalam kereta

Pasangan itu juga didakwa menyebabkan kecederaan selepas kenderaan menggelonsor sehingga melanggar gerai di bazar Ramadan.

Muhammad Firdaus Shariman dan Siti Salasiah Jumaah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas tuduhan meninggalkan dua anak tanpa pengawasan di dalam kereta dan mendatangkan kecederaan kepada seorang peniaga. (Gambar Pexel)
PETALING JAYA:
Suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas tuduhan meninggalkan dua anak mereka tanpa pengawasan di dalam kereta sehingga kenderaan itu melanggar gerai di bazar Ramadan dan menyebabkan seorang peniaga parah terkena minyak panas.

Muhammad Firdaus Shariman, 33, dan Siti Salasiah Jumaah, 25, didakwa secara bersama atas tuduhan mendedahkan dua anak mereka iaitu seorang perempuan berusia lima tahun tujuh bulan dan seorang lelaki berusia setahun tiga bulan dengan cara meninggalkan dalam kenderaan yang tidak dimatikan enjin tanpa pengawasan.

Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan di bahu jalan berhadapan Tapak Bazar Ramadan Kuala Klawang, Jelebu, pada lebih kurang 5.30 petang, 12 Mac lalu, lapor Sinar Harian.

Mereka dituduh bawah Seksyen 31(1)(A)Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Siti Salasiah sebagai pemandu sebuah kereta jenis Proton Persona, juga didakwa meninggalkan kenderaan itu dalam keadaan enjin tidak dimatikan tanpa pengawasan dan dengan cuai mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 40 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi dan tarikh sama.

Siti Salasiah yang juga suri rumah didakwa mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pasangan itu yang tidak diwakili peguam kemudian membuat pengakuan bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Norma menetapkan 2 dan 3 Mei ini untuk sebutan semula bagi bacaan fakta kes dan jatuh hukuman.

Beliau membenarkan Firdaus yang bekerja sebagai tukang kebun dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dan Siti Salasiah dikenakan ikat jamin RM6,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.