Pengurusan tertinggi 1MDB setuju bida RM10.6 bilion beli stesen janakuasa, kata saksi

Pengurusan tertinggi 1MDB setuju bida RM10.6 bilion beli stesen janakuasa, kata saksi

Jasmine Loo berkata menteri kewangan ketika itu Najib Razak tidak memberikan arahan mengenai cadangan untuk membeli loji janakuasa itu.

Jasmine Loo berkata beliau sediakan resolusi pemegang saham dan menyerahkannya kepada Jho Low, untuk mendapatkan kelulusan Najib Razak. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa pengurusan tertinggi dan lembaga pengarah 1MDB mencadangkan untuk membuat bidaan RM10.6 bilion untuk memperoleh loji janakuasa.

Bekas penasihat undang-undang 1MDB, Jasmine Loo, ketika perbicaraan kes rasuah Najib Razak berkata perkara itu berlaku selepas wakil bank pelaburan Goldman Sachs yang berpangkalan di New York mencadangkan bidaan RM10.6 bilion untuk membeli loji janakuasa yang dimiliki oleh Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd, selepas beberapa mesyuarat.

Loo yang berkhidmat dengan 1MDB antara Mei 2011 dan Nov 2013 berkata dia menyediakan resolusi pemegang saham dan menyerahkannya kepada Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, untuk mendapatkan kelulusan Najib.

Saksi pendakwaan ke-50 itu berkata Najib, yang pada masa itu juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, tidak memberikan arahan mengenai cadangan membeli loji itu.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan berpendirian keputusan-keputusan berkait pelaburan 1MDB menggunakan pendekatan “atas-ke-bawah” yang tidak normal, kerana semua keputusan dibuat oleh Najib atas kapasiti sebagai menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat syarikat.

Pada 2019, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, saksi pendakwaan ke-9, berkata Najib meluluskan cadangan tersebut pada Feb 2012. Shahrol juga berkata, 1MDB Energy Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB, ditubuhkan untuk membeli loji janakuasa tersebut.

Beliau berkata Najib menandatangani dokumen itu atas kapasiti beliau sebagai pemegang saham tunggal 1MDB.

Sebagai menteri kewangan, Najib adalah pemegang saham tunggal 1MDB, yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Najib menghadapi 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang disimpan dalam akaun AmBank milik beliau antara Feb 2011 dan Dis 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.