
Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, lebih 22,732.61 tan sisa makanan dilupuskan di Kuala Lumpur sepanjang Ramadan tahun lalu, jumlah yang dijangka meningkat setiap tahun.
Justeru, organisasi seperti Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (Gema) dan Kechara Soup Kitchen mengambil inisiatif menangani masalah pembaziran makanan Ramadan dengan menghulurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.

Vikneshvaran Tanabalam, yang bertanggungjawab terhadap inisiatif MySaveFood Gema di Kuala Lumpur, berkata ia membabitkan 55 bazar Ramadan di seluruh negara.
Seramai 25 sukarelawan di bazar Ramadan Tasik Sri Rampai, yang kebanyakannya berbangsa Melayu, berbuka puasa sekitar 7.30 malam sebelum mula mengumpul lebihan makanan daripada peniaga ketika mereka menutup gerai.
“Selepas itu, kami membawa makanan terbabit ke lokasi berkumpul di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, di mana kami akan menimbang, menyusun dan melabel makanan berkenaan,” katanya kepada FMT.
Makanan itu kemudiannya diletakkan di kaunter ditetapkan di masjid untuk diambil golongan kurang bernasib baik.
Vikneshvaran bimbang dengan peningkatan lebihan makanan, di mana purata peningkatan daripada 300kg kepada 450kg di bazar seperti Kampung Baru setiap hari, yang disifatkannya akibat pertambahan peniaga.

Ketua sukarelawan di bazar Ramadan Tasik Sri Rampai, Ahmad Adam Ismail Abd Hafi menyarankan peniaga membuat kiraan lebih tepat semasa penyediaan makanan bagi mengurangkan lebihan makanan.
Fadillah Husnidar Pohan, 36, penerima inisiatif itu berterima kasih atas kepelbagaian dan kualiti makanan diterimanya.

“Saya menikmati makanan yang ada di sini kerana terdapat pelbagai hidangan, minuman dan kuih. Ia juga meringankan beban kewangan kami dengan ketara.”
Sharil Maon, pengunjung tetap masjid itu percaya inisiatif berkenaan penting bagi mereka yang berdepan masalah kewangan.
“Ramai dapat merasakan ekonomi teruk dan harga makanan juga meningkat. Menerusi inisiatif ini, mereka yang kurang bernasib baik boleh menikmati juadah yang mereka tidak mampu beli.”
Kechara Soup Kitchen
Kechara Soup Kitchen mengumpulkan lebih satu tan makanan dari 24 hotel di seluruh Kuala Lumpur dalam tempoh dua minggu pertama Ramadan tahun ini yang kemudiannya dihantar ke pusat agihan.
Pengarah operasi Kechara Soup Kitchen, Justin Cheah berkata, pusat agihan itu termasuk pusat perlindungan gelandangan dan rumah anak yatim, di mana rakan kongsi amal Kechara mengagihkan makanan kepada individu di bawah jagaan mereka.
Katanya, rakyat boleh membantu dengan menghubungkan Kechara dengan pengeluar makanan mempunyai lebihan bekalan untuk didermakan.
“Anda boleh membantu bukan hanya pada Ramadan. Sebarang bantuan amat dialu-alukan pada bila-bila masa sepanjang tahun, sama ada melalui sumbangan atau kerja sukarela.”