Muat naik kandungan ‘jelik’, SKMM rakam percakapan Aliff Syukri

Muat naik kandungan ‘jelik’, SKMM rakam percakapan Aliff Syukri

Usahawan kosmetik itu dipanggil ke ibu pejabat SKMM hari ini susulan aduan berhubung kandungan sebuah klip video Raya.

Usahawan kosmetik Aliff Syukri Kamarzaman sekali lagi menimbulkan kontroversi dengan klip video Raya yang dihasilkannya, menyebabkan beliau dipanggil oleh SKMM.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah merakam percakapan usahawan kosmetik Aliff Syukri Kamarzaman hari ini berhubung kandungan klip video sempena Aidilfitri yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

Percakapannya dirakam di pejabat SKMM, di Cyberjaya, susulan aduan berhubung kandungan video yang dimuat naik usahawan kosmetik berkenaan di media sosial.

Menurut SKMM, pegawai penyiasatnya juga telah menyita kad SIM serta satu unit telefon bimbit yang digunakan untuk memuat naik video berkenaan.

“Klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dilihat sebagai kandungan yang bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” kata SKMM dalam kenyataan.

“Ini termasuk Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.”

Menurutnya, pesalah boleh dihukum denda maksimum RM50,000, atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

SKMM hari ini berkata, setelah kertas siasatan siap, ia akan diserahkan kepada peguam negara untuk tindakan lanjut.

Dilaporkan semalam bahawa Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta SKMM mengambil tindakan yang wajar berhubung klip video yang dimuat naik Aliff, susulan aduan daripada pengguna media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.